suria

Chong Wei Punya Masa Secukupnya Untuk Kembali Kompetitif - ISN

KUALA LUMPUR: Tempoh dua minggu sebelum Datuk Lee Chong Wei beraksi di Olimpik London adalah masa paling kritikal yang bakal menentukan prestasi semasa atlet itu, kata ketua pegawai eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.

Beliau berkata dalam tempoh itu, pemain perseorangan badminton negara itu perlu memastikan dirinya bebas sepenuhnya daripada kecederaan selain tidak dibelenggu sebarang masalah peribadi untuk fokus kepada temasya tersebut.

"Tempoh Chong Wei mengalami kecederaan pada kejohanan Piala Thomas pada Mei sehingga beraksi di Olimpik pada Julai, lebih kurang 64 hari. Proses pemulihan kecederaannya adalah enam minggu atau 42 hari.

"Secara matematik sains sukan, dari hari pertama beliau mengalami kecederaan, ditolak tempoh pemulihannya sebelum beraksi di London, Chong Wei mempunyai 22 hari untuk kembali ke tahap permainan sebenarnya.

"Masa sebenar yang diperlukan hanya 14 hari. Jadi, tempoh 22 hari sudah cukup bagi pemain itu untuk kembali kompetitif," katanya kepada Bernama, di sini, Jumaat.

Dr Ramlan berkata walaupun Chong Wei, yang kini berada di ranking kedua dunia, masih belum diuji fizikalnya melalui kejohanan kompetitif namun pemain itu komited mengikuti semua latihan yang disediakan ISN.

"Sebagai contoh, dalam tempoh minggu kedua dan ketiga proses pemulihan kecederaannya, beliau agak fobia untuk berjoging. Jadi, ISN sediakan latihan alternatif seperti berbasikal dan berlari dalam air bagi mengekalkan tahap ketahanan fizikalnya," katanya.

Chong Wei, yang meraih pingat perak perseorangan lelaki ketika temasya Olimpik Beijing, China pada 2008, akan menyertai latihan fasa terakhir skuad badminton negara di Bath University, United Kingdom (UK) pada 12 Julai.

Skuad itu akan berkampung selama 13 hari di Bath University, yang terletak di Somerset, 156km dari London sebelum dijangka berlepas ke ibu kota UK pada 25 Julai.

Temasya Olimpik London akan berlangsung dari 27 Julai hingga 12 Ogos. - BERNAMA

Artikel Lain