suria

Berbasikal: Emas Hadiah Hari Jadi Rosnina

TEMERLOH: Pelumba basikal Rosnina anak Minggu menerima hadiah paling istimewa pada ulang tahun kelahirannya ke-16 hari ini apabila meraih emas dalam acara Mountain Bike (MBT) Cross Country kategori wanita pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) di sini, Sabtu.

Pelumba muda dari Sarawak itu juara dengan catatan masa satu jam 18 minit dan enam saat dalam empat pusingan sepanjang 4.05km pada acara yang berlangsung di Sri Tualang di sini.

Pingat perak menjadi milik peserta Kedah, Mardiana Mohd Radzi dengan masa 1:19:33s manakala pelumba dari Sabah, Natashya Soon meraih gangsa dengan 1:21:04s.

"Saya sangat terharu, hari ini adalah hari lahir saya, memang hadiah bermakna buat saya. Kalau hendak diikutkan jalan bukit di sini lebih mencabar, ia licin dan basah. "Pada pusingan kedua, kasut saya tercabut dan memang saya kelam kabut, tetapi nasib baik saya masih di hadapan," kata Rosnina kepada Bernama. Rosnina berkata beliau bercita-cita memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil kerana ingin menjadi pelumba wanita terbaik negara pada satu masa nanti.

Pagi tadi, Sarawak memungut sebutir emas dalam acara MTB Cross Country kategori lelaki menerusi pelumba Addy Ammin Shahriman Othman.

Jurulatih Sarawak, Dzulkaflee Hassan nyata berpuas hati dengan kejayaan kedua-dua anak didiknya dan menganggap persediaan selama enam bulan selama ini tidak sia-sia.

"Memang sasaran pingat emas disandarkan kepada Rosnina dan Addy Ammin, dan mereka telah membuktikannya," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Webber Juarai GP Britain

Artikel Lain