suria

Alia Sazana Sasar Raih Pingat Emas 25m Pistol Wanita

KUANTAN: Atlet pelapis menembak negara, Alia Sazana Azahari mensasarkan pingat emas pada acara 25m pistol wanita yang akan berlangsung Khamis ini di Lapang Sasar Menembak Kompleks Sukan Pahang (Sukpa).

Gadis yang berasal dari Terengganu itu berkata beliau tekad melakar kejutan pada kejohanan temasya Sukma terakhirnya tahun ini.

"Pada Sukma Melaka tahun lepas, saya hanya berjaya raih pingat perak, jadi memang nak buat yang terbaik pada acara lusa," katanya.

Bagaimanapun Alia berkata beliau perlu memantapkan persediaan fizikal dan mental kerana tidak menafikan saingan dari atlet Selangor, Zunaira Zakaria dan Noor Izati Jasni yang menurut beliau adalah antara penembak yang kompetetif.

"Untuk Khamis ini, memang nak buat yang terbaik sebab penembak dari Selangor hebat. Selepas ini saya perlu lebih ke depan dalam sukan menembak dan mahu menjadi seperti penembak elit negara, Bibiana Ng dan Josline Chia. Mereka adalah idola saya," katanya.

Alia yang menyertai acara 10m pistol wanita pada Selasa, berkata beliau kurang berpuas hati dengan aksinya kerana tidak dapat memberi konsentrasi sepenuhnya dan akan lebih bersedia bagi acara 25m pistol wanita Khamis ini.

"Acara 25m pistol wanita adalah acara 'outdoor', jadi saya dah biasa menembak di kawasan terbuka, berbeza dengan acara hari ini. Saya rasa lebih tertekan beraksi di kawasan tertutup.

"Hari ini pun saya kurang bersedia, macam ada sesuatu yang mengganggu fikiran saya," kata gadis berusia 21 tahun itu.

Acara menembak pada Selasa mempetaruhkan enam pingat emas bagi acara individu dan berkumpulan bagi acara 10m Air Pistol Individu Wanita, 25m Rapid Fire Pistol Lelaki dan 50m Rifle Prone Wanita. - BERNAMA

Artikel Lain