Ahmad Luth HamizanKUANTAN: Pelari jarak jauh Negeri Sembilan, Ahmad Luth Hamizan berjaya menambah satu lagi koleksi pingat emas menerusi acara 3,000m lari berhalangan lelaki di temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-15 yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Khamis.Ahmad Luth, 20, berjaya mengatasi pesaing lain apabila menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 9:40.42s. Pingat perak menjadi milik pelari Pahang, S.Saranraj dengan catatan masa 10:06.34s manakala gangsa dimenangi M. Vinoth dari Johor (10:10.60s)."Saya rasa puas hati apabila dapat menyumbang dua pingat emas dan satu perak kepada skuad olahraga Negeri Sembilan dan gembira dengan kemenangan ini walaupun belum berjaya mengatasi rekod kejohanan," katanya kepada pemberita.Ahmad Luth sebelum ini mengutip pingat emas pertamanya menerusi acara 10,000m lelaki dan pingat perak dalam acara 5,000m lelaki.Pelajar prauniversiti Sekolah Sukan Bukit Jalil itu berkata tumpuannya selepas ini adalah untuk menyumbang pingat tanpa mengira warna kepada negara di Sukan SEA Myanmar pada tahun depan.Ahmad Luth mengakui kepenatan berikutan jadual perlawanan agak ketat namun suntikan semangat yang diberikan oleh jurulatih dan rakan sepasukan menyumbangkan kepada kejayaannya hari ini. -BERNAMA