MANCHESTER CITY berharap mereka akan dapat menarik minat Robin van Persie (RVP) untuk menyertai kelab itu dengan menjual Emmanuel Adebayor kepada Tottenham pada harga £5 juta.Sebagai ganjaran kerana berjaya memperolehi Adebayor pada harga yang murah, Spurs bersetuju untuk membayar gaji pemain itu sebagaimana yang ia perolehi ketika bermain di Manchester City iaitu sekitar £170,000 seminggu. City percaya, perpindahan Adebayor ke Spurs akan membuka ruang kepada RVP untuk menyertai mereka kerana pemain Belanda itu tidak bertegur sapa dengan bintang dari Togo tersebut.Van Persie, sebelum ini telahpun mencetuskan kontroversi apabila beliau enggan menandatangani kontrak baru bersama Arsenal.Baki kontraknya yang ada sekarang akan tamat dalam tempoh 12 bulan dari sekarang.Jika Arsenal gagal memperolehi tandatangan RVP, mereka terpaksa mencari jalan untuk menjualnya dalam tempoh tersebut kerana jika tidak, dia akan menjadi pemain bebas.Ini bermakna Arsenal tidak akan memperolehi sebarang ganjaran hasil perpindahannya ke kelab baru selepas tempoh kontraknya tamat menjelang hujung musim akan datang.Bos City, Roberto Mancini sedar, sebarang hasrat untuk memperolehi khidmat RVP hanya akan tercapai dengan terlebih dahulu melepaskan Adebayor ke kelab lain.Kedua-dua RVP dan Adebayor bertelagah pada September 2009 apabila Adebayor yang baru sahaja bermain untuk City, telah bertindak kasar ke atas RVP dengan menghayunkan butnya ke muka kapten Arsenal itu.Dia kemudiannya memijak Cesc Fabregas dalam perlawanan Arsenal menentang City itu.RVP telah mengeluarkan satu kenyataan keras yang mengutuk cara permainan Adebayor sebagai tidak berotak dan berniat jahat.Adebayor yang dipinjamkan selama semusim oleh City kepada Spurs masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun lagi.Spurs baru sahaja mengikat pemain berbakat mereka dari Wales, Gareth Bale dengan bayaran gaji sebanyak £100,000 seminggu dan kini berharap pengurus baru mereka, Andre Villas-Boas akan bersetuju untuk mengekalkan Adebayor sebagai pemain tetap.Adebayor telah menjaringkan 18 gol sepanjang tempoh pinjamannya bersama Spurs musim lalu dan memang berhasrat untuk menandatangani kontrak kekal bersama kelab London itu.City sebelum ini telah menawarkan £15 juta kepada Arsenal untuk mendapatkan khidmat pemain terbaik EPL musim lalu itu tetapi Arsenal yang ketika itu masih dalam rundingan dengan RVP enggan melayani permintaan tersebut.RVP telah menjaringkan 37 gol untuk Arsenal musim lalu tetapi tidak menyerlah ketika beraksi untuk Belanda pada kejohanan Euro 2012 yang baru sahaja berakhir bulan lalu.Selain City, hanya ada dua kelab sahaja yang benar-benar menunjukkan minat untuk dapatkan khidmat RVP iaitu Manchester United dan Juventus.Sementara itu akhbar The Sun UK melaporkan, Ketua Eksekutif Arsenal, Ivan Gazidis telah bersedia untuk bertemu RVP sekali lagi minggu ini untuk menyelesaikan kemelut tersebut dan pada masa yang sama untuk cuba menyakinkan kapten mereka itu agar terus kekal bersama kelab itu.Masalah dengan City sekarang ialah mereka enggan membayar lebih daripada apa yang ditawarkan untuk RVP sebelum ini.Tetapi pada masa yang sama, City tidak keberatan untuk menawarkan £15 juta termasuk pemain Bosnia, Edin Dzeko kepada Arsenal.Pengurus Arsenal, Arsene Wenger adalah peminat Dzeko tetapi pihak pengurusan kelab pula enggan memenuhi apa yang dibayar oleh City kepada pemain itu sebanyak £130,000 seminggu.