KUALA LUMPUR: Empat anak muda memperoleh peluang keemasan merasai sendiri suasana temasya sukan terbesar dunia, Olimpik London 2012, setelah menang pertandingan 'Team Malaysia Be A Super Fan'.Pemenang bertuah itu, Mohd Hafizuddin Nordin, Amir Helmy Yusof, Ahmad Faizal Basri dan Muhammad Safian Abdullah akan berlepas ke London 28 Julai ini dan mereka akan tinggal selama sembilan hari dengan semua perbelanjaan ditanggung sepenuhnya Telekom Malaysia Berhad (TM). Ketua Pengarah Pemasaran TM Datuk Rozilla Abdul Rahman berkata keempat-empat pemuda berusia 21 tahun itu, turut diberi tugasan berkongsi pengalaman di London dengan seluruh rakyat Malaysia khususnya 200,000 peminat laman web Facebook Team Malaysia."Sambil Malaysia menghantar pasukan harapan untuk memperoleh pingat ke London, Team Malaysia akan menghantar pemenang-pemenang peraduan ini bagi memberi sorakan kepada atlet-atlet kita yang bertanding di Olimpik."Mereka akan menonton tujuh jenis acara sukan melibatkan atlet negara termasuk badminton dan terjun," katanya pada sidang media pertandingan 'Team Malaysia Be A Super Fan", di sini, Selasa.Katanya, keempat-empat pemenang bertuah itu juga berpeluang menonton perlawanan bola sepak pasukan liga Inggeris Manchester United di Stadium Old Trafford selain melawat sekitar kota London.Sementara itu, Amir Helmy Yusof dari Bangi, Selangor berkata sebelum ini beliau tidak pernah terfikir untuk terbang ke London dan menyaksikan sendiri aksi pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei di Sukan Olimpik."Saya memang tak pernah terbayang akan dapat peluang begini. Terima kasih pada Telekom Malaysia dan Insya-Allah saya akan memberi sokongan dan sorakan sepenuhnya kepada atlet-atlet kita di sana nanti," katanya.Pertandingan secara dalam talian itu, mula dibuka April lepas dan menarik ribuan penyertaan peminat sukan tanah air.Peserta dikehendaki berkongsi maklumat mengenai atlet-atlet negara ke Olimpik dalam talian menerusi foto, video, komen, blog, twitter dan facebook, di samping menjemput kenalan untuk menyokong skuad negara ke Olimpik.Peserta yang paling aktif akan meraih mata tertinggi sekali gus berpeluang memenangi hadiah utama percutian ke London dan menyaksikan sukan berprestij itu. - BERNAMA