suria

Chong Wei Tempah Slot Ke Suku Akhir

LONDON: Selepas hampir dua bulan tidak beraksi dalam kejohanan kompetitif akibat kecederaan, pemain nombor dua dunia Datuk Lee Chong Wei memulakan cabaran Sukan Olimpik 2012 dengan kemenangan bergaya untuk layak ke suku akhir acara perseorangan lelaki.

Chong Wei menumpaskan pemain tinggi lampai dari Finland, Ville Lang 21-8, 14-21, 21-11 dalam perlawanan Kumpulan A di Arena Wembley di sini, pada malam Isnin.

Selepas menang mudah set pertama, Chong Wei yang mengalami kecederaan buku lali kanan semasa Piala Thomas pada Mei lepas, hilang fokus sekaligus memberikan kemenangan kepada lawannya pada set kedua.

Chong Wei kemudian membuktikan bahawa beliau merupakan antara pemain pilihan untuk menjuarai acara itu apabila menang bergaya pada set penentuan.

Kemenangan itu juga melebarkan rekod dua kemenangan berpihak kepada Chong Wei ke atas pemain Finland itu.

Pada pertemuan terakhir antara kedua-dua pemain itu di Kejohanan Dunia 2011, Chong Wei mudah menumpaskan Lang 21-10, 21-11.

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu, Chong Wei berkata, dia telah dapat menemui kembali rentak permainannya selepas hampir dua bulan tidak beraksi dalam kejohanan kompetitif.

"Kini saya buktikan bahawa saya mampu bermain di set penentuan dan memenangi perlawanan hari ini," katanya.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain negara Tee Jing Yi mencatatkan kemenangan apabila mengenepikan cabaran pemain Itali, Agnese Allegrini 21-7, 21-14. - BERNAMA

Artikel Lain