LONDON: Penantian pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik 2012 berterusan pada hari keempat temasya itu apabila penerjun negara gagal menyumbangkan pingat yang diharapkan itu dalam acara 10 meter platform seirama wanita akhir pada Selasa.Bagaimanapun, kem Malaysia boleh menarik nafas lega apabila atlet memanah, Khairul Anuar Mohamad menempah tempat ke pusingan ketiga acara recurve individu lelaki yang akan diadakan secara format kalah mati pada Khamis ini. Beregu utama negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong pula walaupun tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Chung Jae Sung/Lee Yong Dae dalam saingan akhir Kumpulan D, namun berjaya layak ke suku akhir selepas menduduki tempat kedua dalam kumpulan berkenaan.Beregu nombor lapan dunia itu akan berdepan juara Kumpulan B, Isara Bodin/Jongit Maneepong dari Thailand pada suku akhir acara beregu lelaki Khamis ini.Di Pusat Akuatik London, pasangan penerjun negara, Pandelela Rinong anak Pamg dan Leong Mun Yee menduduki tempat ketujuh daripada lapan peserta yang mengambil bahagian dalam acara itu selepas mengutip 308.52 mata daripada lima disiplin.Pasangan penerjun China, Chen Roulin-Wang Hao memenangi emas dalam acara itu selepas mengutip 368.40 mata diikuti Alejandra Crozco Loza-Paola Espinosa Sanchez dari Mexico yang meraih perak (343.32) manakala gangsa milik Roseline Filion-Meaghan Benfeito dari Canada dengan 337.62 mata.Di Lord's Cricket Ground, Khairul Anuar menumpaskan rakan senegara yang lebih berpengalaman, Cheng Chu Sian sebelum menundukkan peserta lebih tinggi ranking dari China untuk layak ke pusingan ketiga acara recurve individu lelaki.Khairul Anuar menumpaskan Chu Sian pada pusingan pertama dengan 6-4 dan mengekalkan prestasi cemerlangnya untuk mengalahkan Xing Yu dari China 6-5 di pusingan kedua.Pemanah negara itu akan berdepan Larry Godfrey dari Great Britain pada pusingan ketiga, Jumaat ini.Sementara itu di Wembley Arena, Koo-Tan tumpas kepada beregu Korea Selatan itu dengan 16-21, 11-21 untuk menduduki tempat kedua dalam Kumpulan D.Pada hari kelima temasya itu esok, Datuk Lee Chong Wei akan menentang Simon Santoso dari Indonesia di peringkat suku akhir acara perseorangan lelaki.Bryan Nickson Lomas dan Huang Qiang pula akan turun beraksi dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki akhir manakala pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy akan meneruskan perlumbaan kelima dan enam dalam acara Dinghi Lelaki. -BERNAMA