LONDON: Walaupun sibuk dengan jadual latihan setiap hari, atlet elit paralimpik Malaysia meluangkan masa untuk turut serta dalam majlis sambutan Hari Raya dan meraikan kehadiran mereka bagi menghadapi temasya Sukan Paralimpik yang akan berlangsung di sini dari 29 Ogos hingga 9 September ini.Majlis dihadiri 10 orang daripada 23 atlet yang akan mengambil bahagian. Mereka ialah dari acara sukan memanah dan olahraga. Ketibaan mereka pada majlis yang diadakan di perkarangan Days Hotel disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Seri Zakaria Sulong dan isteri Datin Hazizah Ahmad, serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim dan isteri.Turut hadir ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong yang juga merangkap Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik London."Majlis ringkas ini adalah untuk meraikan kehadiran mereka ke kota London dan secara tidak langsung kita masih dalam suasana Hari Raya, pihak kedutaan dengan kerjasama KBS (Kementerian Belia dan Sukan) mengadakan majlis ini."Kita juga mahu para pelajar yang menuntut di sini selain mengenali atlet-atlet negara pada Sukan Olimpik lepas, akan turut mengenali atlet paralimpik kita," kata Zakaria.Sementara itu, atlet memanah berkerusi roda Zulkifli Mat Zin berkata latihan yang diadakan sebelum tarikh pertandingan pada 30 Ogos ini memberi banyak peluang untuk mengadaptasi dengan keadaan cuaca di sini."Semasa berlatih di venue pertandingan, kami dapat membuat penyesuaian terhadap teknik memanah dan menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan angin," katanya.Acara memanah akan diadakan di The Royal Artillery Barracks dan berlangsung dari 30 Ogos hingga 5 September. - BERNAMA