suria

Yunus Risau Pemain T-Team Ketandusan Idea Tembusi Benteng Pertahanan Lawan

KUALA TERENGGANU: Ketandusan jaringan dan idea untuk menembusi pertahanan lawan dalam pertandingan bola sepak Piala Malaysia menjadi masalah besar kepada pasukan T-Team.

Ketua jurulatihnya Yunus Alif berkata ini mungkin juga disebabkan penjaring utama seperti Fadli Saari mengalami kecederaan dan tidak cergas sepenuhnya.

"Saya risau ketandusan jaringan dan idea untuk menembusi pertahanan lawan," katanya mengulas pertemuan T-Team dan Sarawak yang berkesudahan seri tanpa jaringan di sini, malam Sabtu.

Katanya penggantungan pemain importnya Marco Tulio dari Brazil juga memberi kesan kepada pasukan.

Bermain dalam Kumpulan D, T-Team cuma mengutip satu mata daripada dua perlawanan yang diharunginya setakat ini iaitu tewas kepada Pahang 2-3 dan seri tanpa jaringan dengan Sarawak malam Sabtu.

Yunus berkata walaupun peluang T-Team untuk merebut slot ke suku akhir masih terbuka, namun beliau bimbang peluang itu akan terlepas jika keadaan sebegini berterusan.

Beliau berkata Rabu ini, T-Team akan melayani kunjungan Selangor, sebelum pertandingan pusingan pertama berakhir.

Mengenai kecederaan Fadli, Yunus berkata pemain itu dikeluarkan separuh jalan malam tadi dan tahap kecederaan pemain itu belum diketahui.

Beliau berharap pemain-pemain yang lain akan meningkatkan semangat juang kerana perjuangan masih lagi jauh. - BERNAMA

Artikel Lain