suria

Dua Pasangan Badminton Negara Tewas Di Peringkat Akhir

KUALA LUMPUR: Dua pasangan badminton negara masing-masing dalam acara beregu wanita dan beregu campuran tewas kepada pasangan dari Indonesia pada pusingan akhir Kejohanan GP Terbuka Vietnam di Stadium Phan Dinh Phung, Hanoi, Ahad. Dalam perlawanan disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen berbayar Astro, pasangan adik beradik Ng Hui Ern dan Ng Hui Lin tewas kepada Pia Zabedah Bernadeth dan Rizki Amelia Pradipta pada acara beregu wanita dengan keputusan 17-21 dan 19-21 dalam masa 40 minit.

Beregu campuran Tan Aik Quan dan Lai Pei Jing tunduk kepada satu lagi pasangan dari Indonesia Markis Kido dan Pia Zabedah dengan keputusan 21-23 dan 8-21 hanya dalam masa 37 minit.

Sementara itu, Thailand menguasai acara perseorangan wanita dan beregu lelaki.

Perseorangan wanita negara Gajah Putih itu yang juga pilihan utama kejohanan Porntip Buranaprasertsuk menewaskan pemain bukan pilihan dari Indonesia, Lindaweni Fanetri dengan keputusan 21-10, 21-18 dalam masa 40 minit.

Beregu lelaki mereka, Bodin Issara dan Maneepong Jongjit terpaksa berhempas pulas sebelum mencatatkan kemenangan 19-21, 21-16, 21-11 ke atas pasangan dari Indonesia, Yohanes Rendy Sugiarto dan Afiat Yuris Wirawan dalam masa 50 minit.

Pasukan tuan rumah merangkul gelaran perseorangan lelaki selepas Nguyen Tien Minh menewaskan pemain Jepun, Ueda Takuma, 21-14, 21-19. - BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan