suria

AGM KOM Tetap Dijalankan Meskipun Wujud Dakwaan Perlanggaran Undang-Undang - Shahidan

KUALA LUMPUR: Mesyuarat agung tahunan (AGM) Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tetap diteruskan meskipun terdapat dakwaan ia menyalahi perlembagaan persatuan, kata Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata KOM tidak melanggar peraturan perkara 8.7.1 seperti didakwa salah seorang pencabar jawatan Presiden KOM, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

"Tentang perkara 8.7.1 ini, siapa yang bertanding perlu hantar kepada pengurus besar dua minggu sama ada beliau setuju bertanding atau tidak. Perkara itu afiliate telah hantar dan mengesahkan. Perkara ini kena dibaca dengan betul.

"Jadi 8.7.1 kita tidak langgar apa-apa. Semua orang boleh bertanding, apa yang berlaku yang melibatkan undang-undang itu soal kedua. Yang penting adalah semua calon layak bertanding.

"Sah atau tidak AGM esok itu adalah hak Pejabat Pesuruhanjaya Sukan (PPS) untuk menentukannya kemudian, Bagi saya peraturan telah diikuti. Notis mesyuarat agung dan notis untuk pencalonan kita telah patuhi," katanya kepada pemberita di pejabat KOM di sini, Sabtu.

Proses pengundian akan dijalankan di Dewan Komanwel, Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil pada 11 pagi esok.

Pada pemilihan jawatan utama, Shahidan akan dicabar oleh Danyal yang juga merupakan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Presiden Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan Datuk Zainal Abidin Ahmad. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain