suria

Tenis : Davydenko Tarik Diri, Nishikori Mara Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu Asia dari Jepun, Kei Nishikori mara mudah ke aksi separuh akhir selepas lawannya dari Rusia, Nikolay Davydenko menarik diri pada set kedua kerana mengalami kekejangan otot paha pada aksi suku akhir Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia ATP di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, Jumaat.

Sebelum itu, Nishikori diberi saingan sengit pada set pertama dengan Davydenko mengutip mata pertama sebelum dikejar pemain di ranking ke-17 dunia itu.

Bagaimanapun aksi menarik kedua-dua pemain tersebut tidak dapat diteruskan pada set kedua.

"Permainan yang menarik, namun saya simpati ke atas Davydenko yang mengalami kecederaan.

"Walaupun tidak dapat menamatkan perlawanan, saya tetap berpuas hati dengan rentak hari ini berbanding aksi semalam (Khamis) dan berharap agar dapat konsisten untuk perlawanan seterusnya," jelas pemain berusia 23 tahun ini selepas perlawanan.

Menunggu Nishikori pada aksi separuh akhir Sabtu (esok) dengan berdepan pemain pilihan kedua, Juan Monaco dari Argentina yang turut mengetepikan Vasek Pospisil (6-3,6-4) pada aksi sama hari ini.

"Perlawanan separuh akhir nanti akan lebih mencabar bertemu Monaco. Dia suka bermain di 'baseline' dan saya akan cuba kekalkan permainan saya sendiri. Nishikori dinamakan sebagai pendatang baru tahunan ATP 2008 dan menjadi pemain Asia pertama menerima anugerah itu.

Nishikori melakukan penampilan sulungnya secara profesional pada 2007 selepas memulakan latihan di Akedemi Nick Bollettieri pada usia 13 tahun.

Namun, hanya selepas lima kejohanan, Nishikori yang ketika itu berusia 18 tahun meraih tumpuan dengan kejayaan menjulang gelaran ATP di Delray Beach pada Februari 2008 sekali gus menjadi pemain Jepun kedua memenangi gelaran jelajah.

Sebagai rekod, sepanjang penglibatannya sebagai pemain profesional, Nishikori pernah beraksi sehingga suku akhir Terbuka Australia dan Sukan Olimpik tahun ini, Wimbledon 2012 (pusingan ketiga), Terbuka Amerika Syarikat 2008 sehingga pusingan keempat serta pusingan kedua Terbuka Perancis pada tahun 2010 dan 2011.

Selain itu, Monaco terpaksa bekerja keras sebelum menyingkirkan pemain muda dari Kanada tersebut dalam tempuh 1 jam 24 minit.

Artikel Lain