KUALA TERENGGANU: Jurulatih Felda United, E.Elavarasan diumumkan sebagai jurulatih Terengganu untuk musim Liga Super tahun depan bagi menggantikan Peter James Butler yang ditamatkan kontrak baru-baru ini.Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh berkata pemilihan jurulatih itu berdasarkan kepada pengalaman dan rekod pencapaiannya ketika bersama pasukan kelab sebelum ini. Jurulatih berusia 47 tahun itu akan diberi kontrak selama setahun, katanya pada sidang media yang turut dihadiri jurulatih itu di sini, Khamis. Che Mat berkata beliau yakin Elavarasan boleh membimbing dan membawa kejayaan kepada skuad Terengganu dalam saingan Liga Super musim depan.Elavarasan pernah membimbing pasukan Public Bank FC menjuarai Liga Perdana pada 2003 dan muncul naib juara Liga Super di belakang pada musim 2004-2005 serta beraksi pada saingan Piala Malaysia pada 2002, 2003, 2004 dan 2005.Pada pertengahan musim 2010, beliau membimbing Felda United dan membantu pasukan itu menjuarai Liga Perdana dan layak ke Liga Super pada musim 2011. Sementara itu, Elavarasan berjanji akan membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala ke Terengganu tahun depan."Ini adalah satu cabaran bagi diri saya serta peminat juga mempunyai harapan tinggi. Kita kena usaha untuk mencapai matlamat ini," katanya.Katanya beliau akan mula menyesuaikan diri dengan setiap pemain sebelum membentuk pasukan yang mantap dan mampu mengekalkan persembahan konsisten dalam Liga Super musim depan.Katanya beliau dijangka memulakan tugas pada pertengahan bulan depan selepas kontraknya bersama Felda United berakhir pada akhir bulan ini. -BERNAMA