suria

Asia Patut Diiktiraf Hab Mempromosi Hoki Ke Pentas Dunia - Tengku Abdullah

KUALA LUMPUR: Benua Asia patut diiktiraf sebagai hab untuk mempromosikan hoki ke pentas dunia, kata presiden Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Beliau berkata kini, negara Asia mampu bersaing dengan negara Eropah untuk menjadi kuasa besar hoki di peringkat antarabangsa berikutan penampilan menyerlah beberapa negara dalam sukan itu seperti India dan Pakistan.

"Saya berpendapat mereka (orang Asia) layak mendapat tempat di peringkat itu kerana kebanyakan negara yang terlibat menunjukkan prestasi baik di peringkat antarabangsa kebelakangan ini," katanya pada sidang akhbar di luar Kongres Sedunia Persekutan Hoki Antarabangsa (FIH) di sini, hari ini.

Kongres lima hari itu dihadiri hampir 220 anggota perwakilan dari 91 negara. Ia akan menyaksikan pemilihan anggota lembaga eksekutif FIH bagi penggal 2012-2016.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah kongres ini ialah pada 1975 apabila Kuala Lumpur menjadi hos kejohanan Piala Dunia Lelaki.

Tahun itu juga menyaksikan Malaysia mencatat pencapaian tertingginya dalam kejohanan hoki antarabangsa apabila ia menduduki tempat keempat dalam kejohanan Piala Dunia.

Tengku Abdullah memuji badan pengelola hoki dunia itu kerana memberi kepercayaan kepada Malaysia menganjurkan kongres tersebut pada tahun ini.

"Kami (MHC) gembira menjadi sebahagian daripada kongres ini dan seperti anda semua sedia maklum, hoki merupakan sukan yang agak popular di Malaysia dan kami ingin mempamerkan kemampuan dan kemudahan yang kami miliki di sini kepada semua anggota perwakilan," katanya.

Tengku Abdullah juga berkata MHC akan mengkaji semula sama ada pihaknya patut membida untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018.

"Saya akan buat kajian lanjut tentang perkara ini kerana saya memerlukan persetujuan anggota majlis MHC," katanya.

Sementara itu, presiden FIH Leandro Negre berkata negara Asia sudah hampir mencapai prestasi yang setanding dengan pasukan Eropah.

"Kita patut iktiraf pencapaian beberapa negara Asia seperti India dan Pakistan yang memenangi beberapa kejohanan hoki antarabangsa dalam tempoh beberapa tahun lepas," katanya.

Negre berkata beliau berpuas hati dengan kemajuan sukan itu di peringkat antarabangsa sejak beliau mula menerajui FIH pada 2008. Tengku Abdullah adalah antara calon yang akan bertanding untuk menduduki lembaga eksekutif FIH bagi penggal 2012-2016. Beliau menghadapi saingan daripada Stephan Abel (Jerman), Jan Albers (Belanda) dan Sergey Chechenkov (Rusia) untuk mengisi dua kerusi yang diperuntukkan bagi calon lelaki dalam lembaga itu.

Enam calon wanita pula bersaing untuk mengisi tiga kerusi yang diperuntukkan kepada mereka iaitu Danae Andrada Baerrios (Uruguay), Sue Catton (England), Mary Cicinelli (Kanada), Renita Garard (Australia), Sandra Isola (Argentina) dan Assuncao Pinto(Portugal).- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain