suria

Azman Minta FAM Pantau Tempoh Perpindahan Pemain

PENGURUS Kelantan, Azman Ibrahim meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya lebih memantau tempoh perpindahan pemain ke pasukan lain selepas tamat musim perlawanan.

Katanya, pandangan ini bagi membantu setiap pasukan merancang dengan lebih baik mengenai pemain-pemain mereka dan tidak merencatkan perancangan yang telah dibuat.

Mengulas isu perpindahan pemain, Azman yakin tawaran di saat akhir daripada mana-mana pasukan boleh memberi kesan kepada pasukan.

"Pasukan Kelantan merancang untuk mengekalkan keseluruhan pemain yang ada sekarang kerana pemain-pemain masih mempunyai kontrak kami.

"Jika berlaku perpindahan juga, ia boleh memberi kesan besar kepada kami.

"Mungkin selepas ini pihak FAM boleh memantau mengenai perpindahan pemain dengan memberi tempoh yang lebih panjang agar kita boleh menyusun kembali perancangan pasukan jika berlaku tawaran di saat akhir," katanya.

Namun menurut Azman, perpindahan pemain sebenarnya satu pandangan yang sihat cuma, tempoh yang diberikan itu sahaja agak pendek.

Azman turut mengulas mengenai penyerang terbaik pasukannya, Norshahrul Idlan Talaha yang cuba dipancing pasukan Johor musim depan.

"Buat masa sekarang dia masih lagi pemain Kelantan tetapi pihak Johor bersungguh-sungguh mahukan Norshahrul dan akan menghantar surat pampasan kepada Kelantan.

"Namun kami belum membuat sebarang keputusan dan perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu," katanya.

Selain itu, Azman turut mengulas mengenai kemenangan Persatuan BolaSepak Kelantan sebagai Persatuan Bolasepak Negeri Terbaik tahun ini.

"Ia sebenarnya satu kejutan menerima anugerah ini buat kali pertama. Bagaimanapun saya kami menjadikan ia sebagai landasan ke arah yang lebih profesional selepas ini.

"Banyak lagi yang perlu diperbaiki dan kami akan cuba melaksanakan pengurusan yang lebih baik lagi," tambahnya.

Artikel Lain