suria

Amir Mustafa Raih Perlumbaan Grand Prix Kebangsaan Sirkit Perak

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal lebuh raya negara, Amir Mustafa Rusli meraih kejuaraan pada perlumbaan Grand Prix Kebangsaan Sirkit Perak (GP Perak) sejauh 202.5 kilometer di Mutiara Armada Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada Ahad.

Menurut Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dalam satu kenyataan, Amir Mustafa menamatkan saingan dengan masa empat jam, 44 minit dan 24 saat dan diikuti pelumba pelapis kebangsaan, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri dengan catatan masa 4:45:11s.

Amir Mustafa, yang mewakili pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), memanfaatkan pengalaman beraksi di Sukan Olimpik 2012 dan Kejohanan Lebuh Raya Sedunia 2012 untuk muncul juara.

"Saya sudah biasa berlumba pada jarak lebih 200km. Jadi saya tak berdepan masalah mental apabila turun berlumba hari ini. Ia sangat memenatkan dan kita perlu bijak mencatur strategi, selain harus pandai menyimpan tenaga.

"Pada 2km terakhir, saya tahu tiga lagi pesaing saya tidak mampu untuk mengejar saya. Saya telah susun strategi dan menyimpan tenaga dengan sebaik-baiknya," kata pelumba yang turut menyertai pasukan benua, Drapac Professional Cycling Team dari Australia. PKBM buat pertama kali telah menetapkan jarak perlumbaan sejauh 202.5km pada Grand Prix Sirkit Kebangsaan kali ini kerana sebelum ini, jarak perlumbaan sehari di negara ini khususnya Grand Prix Kebangsaan tidak melebihi 175km.

Sementara itu, bekas pelumba berbasikal wanita kebangsaan, Nor Azian Alias sekali lagi muncul juara selepas memenangi GP Sarawak pada September dan Terbuka Perlis 2012 pada Oktober lepas.

Nor Azian, pemenang pingat emas di Sukan SEA Manila, Filipina pada 2005, menamatkan saingan sejauh 135km dengan catatan masa 3:49:50s dan diekori rapat Nurul Suhada Zainal dan Lauretta Eva Adrian yang turut mencatat masa yang sama. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain