SERDANG: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencipta kejayaan besar apabila mendominasi kesemua lima pingat emas pada acara tenis temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) di sini.Pada acara di Gelanggang Tenis Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini, UniMAP menambah lagi tiga pingat emas melalui pemain tenis kebangsaan, Jawariah Noordin bagi perseorangan dan beregu wanita serta Syed Mohamad Aqil Syed Naquib dalam acara perseorangan lelaki. Semalam, UniMAP sudah meraih dua pingat emas menerusi gandingan Syed Mohamad Aqil dengan Jawariah bagi acara beregu campuran dan pasangan adik-beradik Muhammad Faiz dan Muhammad Fazree Said dalam acara beregu lelaki."Syukur kerana sasaran lima pingat emas tercapai. Tidak dinafikan kami mempunyai pemain kebangsaan dan itu kelebihan pada UniMAP. Namun kita tidak memandang rendah pemain IPT yang lain kerana perlawanan memang sengit. Semua pemain berkebolehan. "Kemungkinan empat pemain lelaki universiti ini akan dipilih mewakili Malaysia ke temasya Sukan Universiti Asean (AUG) di Laos bulan depan, namun belum lagi muktamad," kata pengurus pasukan tenis UniMAP, Amir Ahmad, yang menambah bahawa kejayaan diperoleh hasil komitmen pemain dan sokongan kuat pelajar universiti berkenaan.Pada hari terakhir acara tenis pada Ahad, Jawariah berjaya menewaskan pemain Universiti Malaysia Sabah, Shirley Ling Shio Ling dalam set terus 6-0 dan 6-0.Pingat gangsa menjadi milik Syarifah Syafeenaz Syed Azmir dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas menewaskan Adelle Boey dari Universiti Help 6-4 dan 6-0.Dalam acara beregu wanita, Jawariah yang bergandingan dengan Nur Afifah Syakirah Hassan menewaskan gandingan Adelle Boey-Denise Thng dari Universiti HELP, 6-4 dan 6-2 untuk pingat emas ketiga bagi dirinya.Pasangan Qistina Hassan-Farah Hamima Karim dari UiTM meraih pingat gangsa selepas menewaskan rakan sepasukan Dayang Zulaikha Nadhira-Rose Shamiza, 6-2, 6-2.Sementara itu, Syed Mohamad Aqil menyumbang pingat emas kelima buat UniMAP selepas menewaskan pemain Universiti Nottingham Malaysia Campus (UNMC), Ruchika Amresh dari Sri Lanka, 6-4, 6-2 dalam acara perseorangan lelaki.Pingat gangsa menjadi milik Kevin Loke Ke Wei dari Universiti Help yang menewaskan Syed Azahar Syed Naquib dari UiTM 6-3, 7-6. -BERNAMA