KUALA TERENGGANU: George Boateng, yang baru mengikat kontrak sebagai pemain tengah dengan T-Team, yakin kehadirannya akan dapat membantu pasukan itu meraih kemenangan dalam Liga Malaysia musim depan dan menolak tanggapan bahawa kedatangannya ke sini semata-mata untuk 'makan angin'.Boateng, 37, bekas pemain kebangsaan Belanda yang bermain untuk pasukan Feyenoord Rotterdam dan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Middlesbrough, Aston Villa, Hull City dan Nottingham Forest, berkata dia berharap kerjayanya dengan T-Team akan berpanjangan. "Saya adalah Boateng pertama yang bermain untuk Belanda. Saya juga pernah memegang rekod sebagai pemain asing yang paling banyak beraksi dalam perlawanan EPL (388 perlawanan)."Nama baik lebih bermakna bagi saya daripada wang dan bercuti...Saya ingin mengenang kerjaya saya di Malaysia dengan orang berkata saya pemain yang baik," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani kontrak itu di Wisma Darul Iman di sini Ahad.Boateng, yang diilahirkan di Nkawkaw, Ghana, berkata dia tertarik untuk bermain dengan T-Team kerana kelab itu diurus dengan baik dan menggunakan khidmat jurulatih Peter James Butler dari England."Kehadiran jurulatih Butler di sini penting kerana beliau tahu cara saya bermain... beliau juga tahu bagaimana bola sepak sepatutnya dimain."Saya berhenti bermain kerana wang sejak berusia 26 tahun...Saya bermain untuk mencipta sejarah dan kerana cintakan bola sepak," katanya.Boateng berkata, walupun dia mempunyai banyak pengalaman bermain dalam liga Eropah, bermain di Malaysia akan tetap memberi cabaran kepadanya."Mungkin rentak di sini lebih perlahan, tapi ia tetap mencabar. Mungkin saya ada kelebihan, tapi saya tidak boleh berasa terlalu selesa," katanya.Diminta mengulas tentang tindakan Johor FC menggunakan khidmat penyerang dari Sepanyol, Daniel Guiza dan bekas pemain kelab Lazio, Simone Del Nero, Boateng, yang berpengalaman beraksi menentang ramai pemain ternama dalam EPL dan pernah bermain untuk pasukan kebangsaan Belanda (2001–2006), berkata dia tidak gentar dengan kehadiran mereka."Saya pernah bermain menentang pemain terbaik dunia dan oleh itu, saya bersedia menghadapi apa jua cabaran. Mungkin pemain lawan datang dari Sepanyol atau Brazil, tapi saya akan tunjukkan apa yang mampu saya buat apabila saya mendapat bola," katanya.Boateng berkata, dia teruja untuk bermain bersama pemain tempatan, terutama pemain muda."Saya tidak sabar menunggu untuk berkongsi pengetahuan saya tentang bola sepak dengan mereka," katanya. - BERNAMA