suria

Safiq Janji Pamer Aksi Terbaik Piala Suzuki AFF

Safiq (kanan) bersama Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Sdn Bhd, Cariessa Goh (kiri) selepas dilantik menjadi duta 100Plus di Wisma FAM di sini, Isnin.
Safiq (kanan) bersama Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Sdn Bhd, Cariessa Goh (kiri) selepas dilantik menjadi duta 100Plus di Wisma FAM di sini, Isnin.
Safiq (kanan) bersama Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Sdn Bhd, Cariessa Goh (kiri) selepas dilantik menjadi duta 100Plus di Wisma FAM di sini, Isnin.

PETALING JAYA: Kapten pasukan bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim mengharapkan baki lima hari sebelum bermulanya Piala Suzuki AFF pada Ahad ini mampu meletakkan skuad negara di tahap yang bersedia sepenuhnya.

Skuad bimbingan Datuk K Rajagobal ini bakal bertemu pasukan jiran, Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada aksi pertama negara bagi Kumpulan B.

Bagi Safiq tempoh singkat ini akan digunakan sebaik mungkin bagi melengkapan persiapan, namun dalam masa yang sama turut bersedia untuk bertemu dengan pasukan Bangladesh pada aksi perlawanan persahabatan antarabangsa terakhir pada Selasa.

"Berapa gol yang akan dijaringkan ketika pertemuan dengan Bangladesh nanti tidak penting kerana apa yang lebih diutamakan adalah perlawanan menentang Singapura nanti.

"Kita sedia maklum bahawa pertemuan dengan Singapura sentiasa sengit dan saya yakin rakan-rakan sepasukan sudah bersedia untuk aksi ini," katanya kepada media selepas sidang media perlantikannya sebagai duta 100Plus di Wisma FAM, Isnin.

Biarpun ada segelintir pihak yang tidak menaruh keyakinan terhadap pasukannya untuk mempertahankan kejuaraan tahun ini, Safiq akui itu adalah lumrah bola sepak.

"Sebelum ini juga ada orang yang tidak percaya kemampuan kami untuk bergelar juara, dan kami telah membuktikannya.

"Bagi saya, fokus pasukan adalah untuk mempamerkan aksi terbaik setiap perlawanan dan akan cuba mempertahankan gelaran yang dimenangi sebelum ini," jelas bekas pemain Selangor ini.

Sementara itu, Safiq turut teruja dengan pemilihan pihak 100Plus melantiknya sebagai duta minuman isotonik ini.

"Saya gembira kerana turut tersenarai sebagai duta 100Plus selepas Datuk Lee Chong Wei (badminton), Pandelela Rinong (terjun), Safee Sali (bola sepak) dan Khairul Fahmi Che Mat(bola sepak).

"Ini menambahkan lagi semangat untuk saya mempamerkan aksi lebih baik pada Piala Suzuki AFF dan tidak akan mensia-siakan peluang ini," tambahnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain