LONDON: Pendahulu Liga Perdana Inggeri, Manchester United tewas mengejut di tangan pasukan kerdil Norwich City 0-1 pada perlawanan awal pagi semalam sekaligus menyaksikan tempat mereka diambilalih oleh Manchester City yang menumpaskan Aston Villa 5-0.Chelsea yang selama ini menjejaki rapat United di tangga kedua tewas kepada WBA 1-2. Lebih memeritkan, WBA kini dipimpin oleh Steve Clarke yang pernah menjadi penolong pengurus Chelsea.Dengan kekalahan itu, Chelsea kini menduduki tangga ketiga liga dengan 24 mata manakala United kekal dengan 28 mata - satu mata ketinggalan di belakang City.United juga kini telah tewas tiga kali daripada 12 perlawanan manakala City yang sebelum ini dilihat tidak akan dapat mempertahankan gelaran juara yang mereka sandang musim lalu menjadi satu-satunya pasukan dalam liga yang masih belum tewas.Kemenangan besar City malam semalam akan mengukuhkan lagi kedudukan pengurusnya, Roberto Mancini yang dikatakan tergugat sejak ketibaan dua orang kuat dari Barcelona ke City sebagai pengarah bolasepak dan juga ketua pegawai eksekutif yang baru.Lain-lain keputusan perlawanan malam tadi turut menyaksikan pasukan Tottenham bimbingan bekas pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas tewas kepada Arsenal 5-2, Liverpool menumpaskan Wigan 3-0, Swansea tundukkan Newcastle 2-1, QPR tewas lagi kali ini kepada Southampton 3-1 dan Everton tewas kepada Reading 1-2.Bagi Andre ini adalah kekalahannya yang kelima sejak membimbing Spurs musim ini manakala Luiz Suarez memastikan yang dia boleh menjadi hero kepada Liverpool dengan menjaringkan dua gol.Pemain Uruguay itu kini merupakan pendahulu penjaring gol terbanyak liga dengan 10 gol dari 12 perlawanan.Bagi QPR, ini adalah kekalahan mereka yang kelapan dan masih gagal memenangi walau satu perlawanan lagi pun pada musim baru ini.Dengan perkembangan terbaru itu juga, para pemerhati sukan bolasepak sedang menanti dengan penuh debaran sama ada pemilik QPR, Tan Sri Tony Fernandes akan bertindak memecat bekas pemain Manchester United dan Barcelona itu.