suria

Wee Wern Mara Ke Pusingan Kedua Terbuka Hong Kong

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita nombor dua Malaysia, Low Wee Wern mara ke pusingan kedua Kejohanan Skuasy Terbuka Hong Kong 2012 yang berlangsung di Pusat Skuasy Hong Kong pada Rabu.

Menurut laman web rasmi kejohanan itu, www.hksquashopen.com, pemain nombor tujuh dunia itu hanya mengambil masa 23 minit untuk mengalahkan pemain Australia, Melody Francis dengan mata 11-1, 11-2 dan 11-1.

Wee Wern, 22, akan bertemu Camille Serme dari Perancis dalam perlawanan seterusnya, pada Khamis.

Camille melangkah ke pusingan kedua setelah menumpaskan pemain Ireland, Aisling Blake, dalam perlawanan sengit selama 62 minit, yang berkesudahan dengan kedudukan mata 11-7, 9-11, 13-11, 10-12 dan 11-2.

Pada perlawanan pusingan pertama pada Selasa, pemain nombor satu dunia dari Malaysia, Datuk Nicol Ann David tidak menghadapi laluan sukar untuk mengetepikan pemain England, Sarah Kippax dalam straight set, 11-2, 11-5 dan 11-5.

Nicol akan berdepan pemain tuan rumah, Joey Chan, pada perlawanan pusingan kedua pada Khamis.

Dalam kategori lelaki, Ong Beng Hee mendapat tiket ke perlawanan pusingan kedua setelah terpaksa berhempas-pulas selama satu jam 15 minit untuk menumpaskan Miguel Angel Rodriguez dari Colombia.

Beng Hee menang 9-11, 11-5, 11-9, 8-11 dan 11-5. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain