suria

Terbuka Australia: Djokovic Rangkul Juara Kali Ke-3 Berturut-Turut

Djokovic mencium trofi juara Terbuka Australia selepas menewaskan Murray pada aksi akhir, Ahad.
Djokovic mencium trofi juara Terbuka Australia selepas menewaskan Murray pada aksi akhir, Ahad.
Djokovic mencium trofi juara Terbuka Australia selepas menewaskan Murray pada aksi akhir, Ahad.

PEMAIN nombor satu dunia, Novak Djokovic menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Australia buat kali ketiga berturut-turut semalam selepas mencatat kemenangan bergaya 6-7 (2/7), 7-6 (7/3), 6-3, 6-2 ke atas Andy Murray pada aksi akhir Terbuka Australia, Ahad.

Pemain Serbia tersebut mengambil masa tiga jam 40 minit sebelum berjaya menjinakkan lawannya dari Britain itu berbanding terpaksa bertarung hampir enam jam ketika menewaskan Rafael Nadal tahun lalu.

Walaupun tewas pada set pertama, Djokovic, 25, bangkit dalam tiga set berikutnya untuk muncul pemain pertama merangkul kejuaraan hatrik kejohanan ini di samping gelaran keempatnya di sini.

"Memang menyeronokkan. Satu perasaan yang sukar diungkap dengan kata-kata apabila muncul juara lagi di sini. Ia menjadi Grand Slam yang paling paling bermakna.

"Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Andy. Kami berdua sudah bertemu banyak kali dan sentiasa bersaing hebat dalam tempoh dua tahun ini. Cuma hari ini dia hanya tidak bernasib baik," kata Djokovic.

Kejayaan itu sekali gus menebus kekalahan Djokovic kepada Murray pada perlawanan akhir Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu.

"Rekod kejayaannya di sini memang menakjubkan.

"Tidak ramai yang mampu melakukan sepertinya. Dia memang seorang juara yang hebat," jelas Murray selepas perlawanan.

Ini merupakan gelaran Grand Slam keenam yang berjaya diraih Djokovic dalam kariernya untuk membolehkannya layak berada dalam kelompok pemain lagenda dunia.

Artikel Berikut

Artikel Lain