suria

Anggota Gabungan Ada Kuasa Pinda Artikel 88 FAM - Annuar

KUALA LUMPUR: Anggota gabungan mempunyai kuasa untuk meminda atau menghapus Artikel 88 Statut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memajukan sukan bola sepak negara, kata Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa.

Menerusi laman sosial facebooknya, Annuar berkata masih tidak terlalu lewat untuk anggota gabungan FAM melakukan perubahan pada artikel itu yang sebelum ini menyekat kebebasan bersuara anggotanya dalam mengkritik badan induk bola sepak kebangsaan itu.

"Ahli gabungan FAM menerusi kuasa kongres boleh melakukan segala perubahan termasuk menukar kepimpinan, meminda statut dan peraturan serta meluluskan apa jua usul," katanya.

Beliau berkata perkara itu hanya dapat dilakukan sekiranya ia mengikut proses dan prosedur yang betul.

Annuar berkata sudah tiba masanya untuk presiden anggota gabungan badan induk itu bermuafakat untuk menentukan hala tuju FAM seterusnya.

"Tanpa gentar atau pilih kasih, kita masih belum terlambat...biarpun lambat, lebih baik daripada tiada langsung," katanya.

Beberapa pemimpin bola sepak negeri dan kebangsaan sebelum ini dihukum oleh FAM kerana melanggar Artikel 88, antaranya Annuar sendiri yang dikenakan hukuman gantung selama 30 bulan daripada memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden FAM dan Presiden KAFA.

Terkini, Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga bekas Menteri Besar Perlis, turut menjadi mangsa Artikel 88 setelah dihukum gantung dua setengah tahun dan didenda RM39,000 kerana mengkritik pentadbiran badan induk itu.

Sebelum itu, dua bekas Naib Presiden FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil menjadi mangsa hukuman FAM berikutan kritikan mereka terhadap FAM.

Berdasarkan Artikel 88 peraturan 2010-2014 FAM, hanya presiden dan setiausaha agung dibenarkan membuat kenyataan membabitkan skuad kebangsaan dan pengurusan FAM.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain