suria

Jendela Perpindahan: Hanya 3 Pemain Tempatan, 2 Pemain Import Dibenarkan

PETALING JAYA: Buat julung kalinya Jawatankuasa Pertandingan Tempatan memutuskan untuk membenarkan seramai tiga pemain tempatan menjelang jendela perpindahan pertengahan musim bermula 8-22 April ini.

Manakala bagi perpindahan atau pertukaran pemain import kekal seramai dua orang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek dan ia dianggap adil bagi semua pasukan.

"Setiap pasukan hanya dibenarkan mendaftar tiga orang bagi pemain tempatan dan dua orang bagi pemain import dan jumlah kesemua seramai lima orang.

"Namun perpindahan atau status pinjaman pertengahan musim ini hanya akan berlaku sekiranya pemain terbabit mendapatkan pelepasan daripada pasukannya.

"Dan jika tidak dibenarkan, pemain tersebut tidak boleh berpindah.

"Ini kerana syarat tebus kontrak atau beli kontrak seperti mana yang dibuat pada awal musim perpindahan tidak boleh dilakukan pada sesi jendela perpindahan kedua ini," jelasnya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Ke-15 Sesi 2010-2014 pada Selasa.

Tambah Hamidin, keputusan menetapkan hanya tiga pemain tempatan ini adalah sesuai dengan keadaan dan pasukan.

"Setakat ini hanya tiga pemain sahaja dan kita akan lihat sejauh mana ia memberi kesan.

"Mungkin selepas ini kita akan bagi kebenaran pertukaran pemain lebih daripada itu. Ia adalah syarat yang adil berdasarkan pertengahan musim," katanya.

Hamidin juga berkata, pemain-pemain atau pasukan boleh menghantar dokumen sebelum 8 April.

"Sekiranya tiada masalah, pemain terbabit boleh terus beraksi dengan pasukan baru," kata Hamidin yang turut diiringi Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Datuk Affendi Hamzah.

Jelas Hamidin, peraturan dan syarat perpindahan itu berdasarkan peraturan Liga Malaysia, 4.55.

Selain itu, Hamidin turut mengumumkan beberapa program yang bakal berlangsung tahun ini.

"Play off bagi Piala Malaysia akan berlangsung pada 10 Julai iaitu selepas beberapa hari aksi Liga Super dan Liga Perdana tamat.

"Pihak kami juga bersetuju untuk mengadakan Kejohanan Bawah 19 Tahun yang akan dibuat secara karnival pada 24-28 Jun di Kuantan.

"Seterusnya kami menetapkan perlawanan persahabatan dengan Singapura sebagai acaa tahunan dan ia akan berlangsung pada 4 Jun di sini, manakala perlawanan timbal balik pada 7 Jun di Singapura," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain