suria

FAM Bimbang Prestasi Tidak Konsisten Harimau Malaya - Azzuddin

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bimbang dengan prestasi skuad Harimau Malaya selepas mengalami kekalahan 2-0 dengan Palestin pada perlawanan amal antarabangsa pada Selasa.

Setiausaha Agungnya Datuk Azzuddin Ahmad, yang kecewa dengan keputusan itu, berkata masalah utama yang sentiasa membelenggu skuad negara adalah tahap prestasi mereka yang tidak konsisten dan perkara itu perlu diatasi.

"Kita tidak boleh mengekalkan tahap prestasi yang konsisten sepanjang perlawanan dan ini satu cabaran besar kepada FAM," katanya ketika mengulas perlawanan amal itu di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

Dalam pada itu, Azzuddin memuji tindakan jurulatih Datuk K. Rajagobal menurunkan beberapa pemain muda dan muka baharu pada perlawanan itu berikutan ketiadaan beberapa tonggak utama.

"Ini satu perkara yang baik dengan memberi pendedahan kepada pemain muda dan adalah tidak adil untuk peminat bola sepak negara menilai mereka dalam perlawanan pertama.

"Kita patut beri peluang kepada pemain muda ini dalam tiga atau empat perlawanan sebelum menilai prestasi mereka," katanya. BERNAMA

Artikel Lain