Nicol(depan) menentang pemain dari Afrika Selatan, Siyoli Waters pada pusingan kelayakan, Rabu.KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara Datuk Nicol David memulakan kempen memburu kejuaraan kesembilan pada Kejohanan CIMB Terbuka Kuala Lumpur 2013 dengan gaya menyakinkan apabila mudah melepasi pusingan pertama di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, di sini Rabu.Pada pusingan tersebut, Nicol hanya memerlukan masa 31 minit untuk menyingkirkan pemain dari pusingan kelayakan, Siyoli Waters dari Afrika Selatan dengan keputusan 11-6, 11-8 dan 11-6. "Beliau bermain dengan baik sekali dengan gaya yang berbeza daripada lain. Beliau merupakan pemain penyerang dan bagaimanapun saya bermain mengikut gaya sendiri dan mengawal permainan," kata Nicol yang memegang status sebagai pemain nombor satu dunia.Pada pusingan kedua Khamis, Nicol akan berdepan dengan pemain Mesir Omneya Abdel Kawy yang sebelum ini mengalahkan Aisling Blake dari England dengan keputusan 11-7, 11-8, 8-11, 10-12, 11-9.Sementara itu, pemain negara yang semakin meningkat, Low Wee Wern turut melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan Lauren Briggs dari England 16-14, 11-4, 11-3 dalam masa 39 minit.Wee Wern, selaku pilihan keenam kejohanan, akan bertemu pilihan ke-12, Madeline Perry dari Ireland pada saingan seterusnya.Madeline tidak menghadapi masalah untuk menempah tiket ke pusingan kedua apabila mengalahkan pemain dari pusingan kelayakan, Lucie Fialova dari Republik Czech dengan keputusan 11-2, 11-5, 11-3."Saya perlu mengekalkan momentum ini apabila menentang Madeline yang lebih berpengalaman. Saya hanya menang dua kali dalam beberapa pertemuan dengan Madeline," kata Wee Wern.Bagaimanapun, dua lagi wakil negara Delia Arnold dan Zulhijjah Azan gagal melepasi pusingan pembukaan apabila kalah dengan pemain yang lebih berpengalaman.Delia kalah kepada pemain nombor dua dunia, Raneem El Weleily dari Mesir dengan keputusan 11-8, 11-7, 5-11, 11-1 dalam masa 28 minit manakala Zulhijjah tunduk kepada pemain Belanda, Natalie Grinham, 11-3, 11-3 dan 11-2.Dalam kategori lelaki, yang masih dalam saingan pusingan kelayakan kedua, pemain negara Nafiizwan Adnan layak ke undian utama selepas menumpaskan pemain India, Harinder Pal Sandhu 11-8, 11-5, 5-11, 11-9 dalam pertarungan selama 61 minit itu.Turut melangkah ke pusingan pertama undian utama pada Khamis ialah Ivan Yuen yang mengalahkan rakan senegara Elvinn Keo, 9-11, 11-4, 9-11, 11-3 dan 11-9 dalam masa sejam 10 minit.Kedua-dua mereka akan menyertai Ong Beng Hee dan Muhd Asyraf Azan dalam pusingan pertama undian utama. BERNAMA