suria

Firdaus Mahu Atasi Had Kelayakan Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Atlet acara 400m lari berpagar lelaki Muhamad Firdaus Mazalan yang mewakili Kedah berhasrat untuk mengatasi had kelayakan ke Sukan Sea, Myanmar pada Kejohanan Terbuka Hong Kong 29 Jun ini.

Muhamad Firdaus yang berjaya merangkul pingat emas bagi acara 400m lari berpagar lelaki Kejohanan Olahraga Tertutup Junior dan Senior Kebangsaan KOM-Bank Rakyat 2013, dengan catatan masa 53.03s belum berpuas hati dengan pencapaian itu.

"Ini adalah kali pertama saya bertanding dalam acara ini sebagai pelari senior...untuk tahun ini, ia merupakan rekod terbaik saya dan saya harap dapat mengatasi had kelayakan ke Sukan Sea iaitu 51.60s pada kejohanan Terbuka Hong Kong nanti," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kejohanan itu pada Sabtu.

Muhamad Firdaus, 20, menyasarkan catatan masa kurang dari 52.00s mengatasi rekodnya ketika junior iaitu 52.31s yang dicapainya pada Sukan Universiti Asean di Laos tahun lepas.

Pingat perak acara itu dimenangi Muhamad Bahaqi Razlan (54.19s) dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) manakala atlet dari Sarawak, Mohamad Adib Zulhusni memperoleh gangsa (54.94s). -BERNAMA

Artikel Lain