suria

Hamidin Mahu FAM Lebih Dihormati

KUALA LUMPUR: Biarpun belum memulakan tugas baharu selaku Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sudah meletakkan visinya untuk menjadikan badan induk pentadbiran sukan bola sepak ini ke peringkat yang tertinggi dan lebih dihormati.

Hamidin diumumkan secara rasmi bagi memikul tugas ini oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah pada Khamis bagi menggantikan Datuk Azzuddin Ahmad yang berpindah ke Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) dengan jawatan yang sama.

“Saya ingin menjunjung kasih di atas perkenan Tuanku Presiden FAM melantik saya sebagai Setiausaha Agung FAM.

"Ia satu amanah yang berat untuk dipikul bersama ahli exco FAM yang lain dan saya berikrar untuk memastikan FAM terus dihormati,” jelasnya selepas mesyuarat pengurus pasukan perlawanan akhir Piala FA 2013 antara Kelantan dan Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Walaupun tugas baharunya akan bermula pada 1 Julai ini, Hamidin telah mula ‘turun padang’ secara tidak rasmi pada Jumaat bagi mengadakan perbincangan dengan ahli exco FAM mengenai tanggungjawab baharunya di Wisma FAM.

“Saya akan memulakan tugas baharu ini selewat-lewatnya minggu depan dan sebelum itu saya juga akan akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Presiden FAS, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam tempoh terdekat bagi membincangkan pengganti saya,” jelasnya.

Dengan perlantikan ini, Hamidin secara automatiknya perlu melepaskan jawatan-jawatan yang dipegang sebelum ini termasuk Naib Presiden FAM dan Setiausaha Agung FAS serta Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

Artikel Lain