PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Selasa, melancarkan Ikrar Integriti Sukan Malaysia selaras dengan usaha mempromosi integriti dalam kalangan penggiat sukan.Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata ikrar yang akan diguna pakai semua penggiat sukan di setiap peringkat sebagai satu 'aku janji' itu digubal bersama kementerian dan Institut Integriti Malaysia (IIM). Justeru, bagi memperkukuh elemen integriti dalam sukan, KBS melalui Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama IIM di Menara KBS di sini."Langkah ini diambil untuk meningkatkan lagi prestasi dan mutu sukan negara melalui pelaksanaan integriti dalam sukan selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan ahli sukan dan penggiat sukan yang bukan sahaja berkebolehan malah berintegriti," kata Khairy ketika berucap pada majlis itu.Beliau berkata kerjasama dengan IIM itu bertujuan membentuk program pembangunan integriti, kajian, latihan dan usaha lain yang dapat memperkukuh elemen integriti dalam sukan.Justeru, katanya setiap penganjuran sukan akan sentiasa dijalankan dengan semangat kesukanan tulin melalui pertandingan yang bersih tanpa elemen rasuah. - BERNAMA