suria

Zulfahmi Janji Bangkit Dari Persembahan Hambar

Zulfahmi mahu bangkit dan pamer aksi yang lebih baik.
Zulfahmi mahu bangkit dan pamer aksi yang lebih baik.
Zulfahmi mahu bangkit dan pamer aksi yang lebih baik.

SEPANG: Pelumba Moto3 Malaysia, Muhammad Zulfahmi Khairuddin kini mempersiapkan diri untuk beraksi dengan lebih baik dalam baki perlumbaan dengan mengenepikan keputusan yang mengecewakan baru-baru ini.

"Secara jujur, saya tidak berpuas hati dengan prestasi saya setakat ini. Saya masih belum dapat menyesuaikan diri dengan jentera baharu dan ia menyukarkan untuk saya.

"Masalah utama saya ialah apabila motosikal saya sukar untuk meluncur laju khususnya di selekoh perlahan dan akibatnya saya ketinggalan dari segi catatan masa. Ia sangat merugikan saya.

"Saya berharap selepas cuti musim panas sekarang saya akan lebih yakin dan mengenepikan kecederaan yang saya alami. Semasa perlumbaan saya tidak langsung fikirkan mengenai kecederaan saya itu," katanya.

Zulfahmi sekali lagi terlibat dalam kemalangan semasa perlumbaan MotoGP Belanda di Litar Assen, pada 29 Jun lepas.

"Pada masa ini, saya masih menerima rawatan di ISN (Institut Sukan Negara)," katanya.

Akibat daripada itu, kedudukan beliau kini turun tiga anak tangga dari tempat kelapan ke kedudukan ke-11 selepas lapan pusingan perlumbaan dengan mengumpul 40 mata.

Ketika Muhammad Zulfahmi bergelut dengan kecederaan, rakan sepasukannya, Arthur Sissis dari Australia mengambil kesempatan untuk memperbaiki kedudukan dan berada di belakangnya dengan perbezaan hanya satu mata.- BERNAMA

Artikel Lain