GUANGZHOU: Tiada apa yang lebih menggembirakan buat pasangan beregu negara, Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari selain berjaya mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2013 di sini.Kejayaan tersebut sekurang-kurangnya membuatkan pengorbanan mereka yang tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing berbaloi demi menggalas cabaran negara pada kejohanan berkenaan. Beraksi pada pusingan kedua di Gimnasium Tianhe hari ini, gandingan negara itu bagaimanapun tumpas kepada pilihan ke-14 kejohanan, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov dari Rusia pada set pertama 14-21.Namun, pasangan negara itu bangkit lebih bertenaga pada set kedua dengan keputusan 21-15 sebelum memastikan kemenangan berpihak kepada mereka pada set penentuan 21-16. Pada pusingan ketiga esok, Mohd Zakry-Mohd Fairuzizuan akan berdepan pilihan keempat, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa dari Jepun.Ketika ditemui pemberita, Mohd Zakry bersyukur kerana taktik dan strategi yang mereka rencanakan sebelum perlawanan menjadi dan berharap dapat mengekalkan rentak permainan tersebut pada pertemuan dengan pasangan Jepun itu esok. Beliau yang tidak dapat menyambut hari lembaran buat pertama kali sejak bergelar suami kepada Wan Nursyuhada Che Adnan, berharap agar tuah akan terus bersama mereka pada kejohanan berkenaan."Inilah pengorbanan kami (tidak dapat beraya bersama keluarga), tetapi berbaloi. Harap rezeki ini berterusan kerana penaja kami (Li-Ning dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) berjanji untuk memberi bonus jika kami layak sekurang-kurangnya ke suku akhir," katanya.Dalam pada itu, Mohd Fairuzizuan berpuas hati kerana berjaya membalas dendam terhadap pasangan Rusia itu yang menyingkirkan mereka pada pusingan awal Terbuka Malaysia, Januari lepas.Mengenai pertemuan dengan pasangan Jepun esok, beliau berkata walaupun rekod pertemuan berpihak kepada lawan mereka itu, dia dan Mohd Zakry percaya mereka mempunyai peluang bagi menebus kekecewaan apabila tewas kepada gandingan itu di Terbuka Indonesia, dua tahun lepas.Dalam pada itu, beregu wanita negara, Goh Liu Ying-Lim Yin Loo terkandas pada pusingan kedua apabila tumpas kepada pasangan Korea Selatan, Jung Kyung Eun-Kim Ha Na yang juga pilihan ke-11, dengan 20-22, 7-21 dalam saingan pada Rabu. BERNAMA