suria

ARRC: Tamada Harap Dapat Beraksi Di Suzuka

Makoto Tamada
Makoto Tamada
Makoto Tamada

PELUMBA SuperSports 600cc, Makoto Tamada berharap dapat menyertai aksi pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun pada 30 Ogos sehingga 1 September depan setelah dibenarkan keluar daripada hospital pasa Rabu.

Terdahulu, Tamada telah dimasukkan ke hospital dan menjalani proses pemulihan di Tokyo berikutan kecederaan retak tulang selangka kiri dan tulang belikat, pergelangan kaki kiri serta sebahagian kecil jari tengah kiri yang terpaksa dipotong berikutan kemalangan yang dialami sewaktu beraksi dalam sesi kelayakan Perlumbaan Suzuka 8-Hour Endurance Race, juga di litar Suzuka, baru-baru ini.

Selepas membuat pemeriksaan pada Selasa lepas, kecederaan Tamada didapati pulih lebih cepat daripada tempoh yang dijangkakan dan akhirnya pelumba Jepun itu dibenarkan pulang dan meneruskan proses pemulihan di rumah.

“Saya ingin meminta maaf kepada pasukan dan juga penaja diatas segala kesulitan yang telah berlaku.

"Saya juga mahu berterima kasih kepada peminat-peminat, rakan-rakan dan juga rakan-rakan pelumba yang telah menghantar ucapan agar saya dapat segera pulih dari kecederaan. Terima kasih kepada semua, kecederaan saya semakin beransur pulih.

"Begitu juga kepada doktor-doktor dan jururawat-jururawat yang telah merawat dan menjaga saya dengan baik sepanjang berada di hospital. Saya akan melakukan yang terbaik untuk membolehkan diri saya cukup kompetitif menjelang aksi di Suzuka nanti," jelasnya.

Selepas tiga pusingan, Tamada kini berada di tangga kedua keseluruhan SuperSports 600cc dengan mengumpul 88.5 mata, berada di belakang rakan sepasukannya, Musashi Boon Siew Honda Racing, Azlan Shah Kamaruzaman yang sedang mendahului senarai dengan 80 mata.

Tempat ketiga menjadi milik pelumba PETRONAS Hong Leong Yamaha Racing, Mohd Zamri Baba yang mengumpul 85 mata.