suria

10,000 Dijangka Sertai Larian Berhalang Di SIC Sabtu Ini

KUALA LUMPUR: Kira-kira 10,000 pelari, termasuk dari Indonesia, Singapura dan Thailand dijangka menyertai Viper Challenge 2013 - acara larian berhalang sejauh 20km - di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Sabtu ini.

Acara yang dikatakan julung kali diadakan di Asia ini ialah anjuran bersama The Original Bootcamp dan EntoGenex Industrial Sdn Bhd (EntoGenex).

Bercakap pada sidang akbar di sini hari ini, pengarah The Original Bootcamp Simran Latiff berkata kewujudan 20 halangan buatan manusia di litar itu akan menjadikan perlumbaan berkenaan amat mencabar dan menguji daya tahan, kecergasan serta kekentalan semangat pesertanya.

"Ia bertujuan memupuk gaya hidup sihat dan kerjasama berpasukan," katanya.

Turut hadir pengerusi eksekutif EntoGenex Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja'afar.

Simran berkata gandingan pihaknya dengan EntoGenex merupakan serampang dua mata kerana acara itu juga akan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya mengurangkan populasi nyamuk.

EntoGenex akan memanfaatkan acara itu untuk memperkenalkan penyelesaian bioteknologi keluarannya untuk membasmi penyakit bawaan nyamuk seperti denggi dan malaria.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain