suria

Harga Tiket Pesta Bola Merdeka Antara RM22 Dan RM280 - Tengku Abdullah

KUANTAN: Harga tiket Pesta Bola Merdeka 2013 yang akan berlangsung di sini dari 7 hingga 14 September ini, ditetapkan antara RM22 dan RM280, kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Katanya harga tiket itu bergantung kepada jenis sama ada untuk satu atau dua perlawanan dan tempat duduk.

Bagi menyaksikan dua perlawanan, harga tiket ialah RM30 (bebas di hujung selatan dan utara stadium), RM38 (teres, timur), RM54 (berdiri, timur) dan RM102 (grandstand), manakala pas bulanan pula berharga RM148 (berdiri, timur) dan RM280 (grandstand).

Untuk satu perlawanan pula, harga tiket bermula dari RM22 (bebas, hujung selatan dan utara), RM30 (teres, timur), RM35 (berdiri, timur) dan RM68 (grandstand), katanya pada sidang media, di sini.

Menurut Tengku Abdullah, harga tiket berkenaan untuk semua perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, manakala bagi perlawanan Singapura-Myanmar di Stadium Temerloh, 11 Sept ini, tiket berharga RM22 (bebas) dan RM30 (grandstand). "Saya harap penonton kena faham dan menerima harga tiket ini kerana ia pertandingan antarabangsa, kalau nak lebih murah memang sukarlah untuk penganjur kerana saya difahamkan kos penganjuran dan sebagainya pun tinggi.

"...yang penting Harimau Muda akan beraksi di hadapan kita jadi saya mahu peminat bagi sokongan padu kepada pasukan kita," katanya.

Menurut Tengku Abdullah, selain memburu gelaran juara, kejohanan kali ini penting bagi Harimau Muda sebagai pemanas badan sebelum ke Sukan SEA hujung tahun ini dan Piala AFF Suzuki tahun depan.

Selain Malaysia, kejohanan kali ini turut disertai Singapura, Myanmar dan Thailand bawah 23 tahun. Kali terakhir kejohanan diadakan ialah pada 2008 dan skuad bawah 23 tahun Vietnam muncul juara menewaskan skuad negara yang ketika itu dibimbing B.

Sathianathan menerusi sepakan penalti 6-5.

Kejohanan kali ini juga merupakan kali pertama diadakan di luar Kuala Lumpur.

Tengku Abdullah berkata jika Pahang akan menganjurkan pesta bola itu sekali lagi jika kejohanan kali ini mendapat sambutan.

Tiket kini boleh didapati menerusi cawangan Ticketpro di seluruh negara atau talian hotline 03-7880-7999 dan secara dalam talian di www.ticketpro.com.my. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain