KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan mengalu-alukan bekas atlet bagi membantu melahirkan lebih ramai atlet pelapis dalam sukan masing-masing, kata menterinya, Khairy Jamaluddin."Kita tak boleh buat melalui Kementerian Belia dan Sukan ataupun Kementerian Pelajaran sahaja tetapi kita memerlukan ikon yang memahami sukan itu sendiri untuk membangunkan sukan berkenaan. "Kalau kita berganding bahu dengan pengalaman yang mereka ada, saya yakin bahawa kita akan dapat mewujudkan lebih ramai atlet di masa depan," katanya selepas menghadiri Majlis Sepetang Bersama Datuk Nicol David anjuran Sharon Wee Squash Pro dan melancarkan Kejohanan Skuasy Kebangsaan keempat di Pusat Skuasy Negara Bukit Jalil pada Rabu.Akademi itu adalah milik bekas pemain skuasy wanita nombor satu negara, Sharon Wee, yang kini beralih angin sebagai jurulatih dan pengulas sukan di Astro Arena.Majlis santai itu dihadiri lebih 300 mahasiswa institusi pengajian tinggi awam serta peminat ratu skuasy negara berkenaan.Mengulas penglibatan Wee dalam mengembangkan sukan skuasy, Khairy berkata, usaha bekas pemain itu amat baik kerana membantu kementeriannya melahirkan lebih ramai atlet sukan berkenaan.Sementara itu, Khairy berkata, usaha melahirkan seorang bintang skuasy seperti Nicol tidak dapat dilakukan dalam masa yang singkat."Bukan setiap generasi akan ada seorang Nicol David. Kelebihan yang saya lihat dalam diri beliau ialah dari segi komitmen dan iltizam."Nicol mempunyai kelebihan yang amat unik sekali. Begitu juga dengan Datuk Lee Chong Wei. Saya rasa untuk melahirkan atlet baharu seperti mereka memerlukan masa antara 10 hingga 20 tahun," katanya.Beliau berkata, setiap orang mungkin berbakat dan mendapat latihan terbaik tetapi mereka juga memerlukan komitmen serta iltizam untuk terus berjaya serta mencapai tahap tertinggi dalam bidang sukan yang diceburi. - BERNAMA