suria

Ziyad Gembira Atlet Paralimpik Terima Imbuhan Sama Rata

Ziyad (kanan) menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan yang disampaikan oleh Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Khamis.
Ziyad (kanan) menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan yang disampaikan oleh Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Khamis.
Ziyad (kanan) menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan yang disampaikan oleh Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Khamis.

KUALA LUMPUR: Atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkifli membuktikan bahawa atlet paralimpik juga mampu mencipta nama di peringkat dunia selepas meraih pingat emas dalam acara lontar peluru pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Lyon, Perancis dari 19 hingga 28 Julai lalu.

Rentetan kejayaan itu Ziyad menerima imbuhan tertinggi berjumlah RM80,000 melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam).

"Saya gembira dan bersyukur dengan skim kemenangan ini yang mana membuktikan atlet paralimpik juga tidak diketepikan untuk menerima habuan sama rata dengan atlet normal yang lain.

"Kejayaan ini sesungguhnya memberi inspirasi kepada rakan-rakan saya lain untuk berusaha dengan lebih gigih lagi.

"Kejayaan di Perancis baru-baru ini juga membuktikan bahawa atlet Malaysia mampu mencapai kejayaan cemerlang.

"Saya menjadi atlet paralimpik pertama yang mendapat insentif sama nilai dengan atlet normal lain, dan ia telah memberi gambaran lebih positif kepada orang lain.

"Selepas ini saya akan cuba melakukan yang lebih baik serta memperbaiki rekod pada Sukan Para di Myanmar hujung tahun ini," jelasnya kepada mStar Online.

Selain Ziyad, dua penerjun elit wanita negara, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee turut menerima imbuhan masing-masing berjumlah RM10,000 selepas meraih pingat pada Kejohanan Dunia FINA ke-15 di Barcelona baru-baru ini.

Pasukan bola jaring turut menerima hadiah keseluruhan sebanyak RM16,500 apabila berjaya menjuarai pingat emas pada Kejohanan Bola Jaring Asia di Brunei Julai lalu.

Pemain badminton remaja negara, Soo Teck Zhi menerima imbuhan sebanyak RM2,000 setelah bergelar juara pada Kejohanan Badminton Remaja Asia Bawah 19 tahun di Sabah Julai lalu.

Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang kini sedang beraksi pada Kejohanan Liga Kelab di India menerima RM10,000 selepas berjaya meraih perak pada Kejohanan Badminton Dunia di China baru-baru ini.

Atlet menembak, Joseline Cheah menerima RM5,000 apabila meraih pingat gangsa pada Kejohanan ISSF Piala Dunia Rifle/Pistol di Jerman Mei lalu.

Manakala atlet memanah negara, Khairul Anuar Mohamad dan Atiq Bazil Bakri yang kini sedang menjalani latihan di Korea disenaraikan menerima insentif khas sebanyak RM2,000 seorang selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Memanah Piala Dunia Stage 3 di Columbia Julai lalu.

Artikel Lain