suria

ARRC: Zamri Optimis Bangkit Selepas Kecewa Di Suzuka

Mohd Zamri Baba
Mohd Zamri Baba
Mohd Zamri Baba

SELEPAS aksi kurang bertenaga di Suzuka, pelumba SuperSports 600cc Malaysia, Mohd Zamri Baba optimis mampu mencapai keputusan cemerlang pada Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Litar Lumba Antarabangsa Autopolis, Jepun, minggu ini.

Sebelum ke Suzuka, pelumba PETRONAS Hong Leong Yamaha itu mengharapkan dengan penggunaan tayar Dunlop Unbeaten-03 dapat membantunya untuk meraih podium, namun pelumba berusia 30 tahun itu terpaksa bergelut dengan masalah pelarasan jentera sehingga mencatat keputusan terburuk pada musim ini dengan menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-11 dan tempat kesembilan pada Perlumbaan 2.

Lebih memburukkan keadaan, Zamri gagal untuk menempatkan diri di kelompok lima pelumba terbaik sepanjang sesi latihan dan buat pertama kalinya gagal memulakan perlumbaan dari barisan hadapan, berbeza dengan pencapaian tiga pusingan lepas apabila dia berjaya meraih lima podium daripada enam perlumbaan.

“Suasana di Suzuka tidak sepertimana yang kami harapkan,” jelas Zamri kecewa.

“Kami berharap tayar baru Dunlop dapat membantu kami untuk memberikan saingan kepada pelumba-pelumba lain yang sudah mahir dengan litar Suzuka namun rancangan kami serba tidak menjadi.

"Kami tidak dapat mencari keserasian diantara enjin dan suspensi untuk memaksimumkan kelebihan cengkaman tayar. Akhirnya, apa yang boleh dilakukan sekadar untuk mengutip mata perlumbaan sahaja.

“Kami perlu melupakan kekecewaan di Suzuka sebaliknya perlu memberikan tumpuan menghadapi perlumbaan di Autopolis minggu ini.

“Sama seperti Suzuka, litar ini juga begitu teknikal cuma situasi sedikit berbeza kerana kami mempunyai data yang cukup selepas beraksi sepanjang empat tahun lepas di sini.

"Mudah-mudahan ini dapat membantu jurutera pasukan untuk mengatasi masalah yang kami hadapi sebelum ini,” jelas Zamri.

Menyentuh sasaran minggu ini: “Saya telah ketinggalan 51.5 mata berbanding Azlan, jadi saya perlu memenangi kedua-dua perlumbaan. Saya tidak boleh kehilangan banyak mata berharga lagi".

Artikel Sebelum

Artikel Lain