KUALA LUMPUR: Masalah jentera tidak lagi menghantui Mohd Zamri Baba selepas pelumba SuperSports 600cc negara itu berjaya mencatat masa kelima terpantas pada sesi kelayakan pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) di Litar Lumba Antarabangsa Autopolis, Jepun pada Jumaat.Selepas gagal menduduki kelompok lima pelumba terbaik buat pertama kali pada musim ini ketika pusingan keempat di Litar Antarabangsa Suzuka, minggu lepas, pelumba Petronas Hong Leong Yamaha itu memulakan aksi latihan bebas semalam dengan hambar setelah sekadar mencatat masa terbaik 1:55.922s. Catatan itu jauh ketinggalan berbanding Katsuaki Fujiwara (Beet Kawasaki Racing) yang mencatat masa terbaik 1:53.747s.Berbeza dengan aksi pusingan kelayakan hari ini, Zamri berjaya mencatat masa terbaik 1:54.463s, hanya 0.742s ketinggalan berbanding Fujiwara yang sekali lagi mencatat masa terpantas dengan rekod baharu litar, 1:53.584s.Catatan itu membantu Zamri untuk memulakan perlumbaan dari petak kelima dengan Shinichi Nakatomi (RC Koshien) dan Azlan Shah Kamaruzaman (Musashi Boon Siew Honda Racing) berada di petak kedua dan ketiga, masing-masing dengan catatan terbaik 1:53.711s dan 1:53.880s."Selepas seluruh pasukan bekerja keras untuk mencari masalah jentera saya, akhirnya kami berjaya menemui punca sebenarnya yang menyebabkan kenapa jentera saya tidak cukup laju dan sukar dikendalikan," kata Zamri dalam kenyataan."Semuanya berpunca daripada masalah klac sewaktu di Suzuka lagi. Cuma agak malang kerana kami gagal mengesannya lebih awal. Malah, selepas beberapa kali keluar masuk ke pit pasukan pada sesi kelayakan tadi, barulah ia berjaya diselesaikan."Tanpa disangka, pada saat-saat akhir ini kami mampu selesaikan semua masalah," kata Zamri yang sedikit kecewa setelah sesi kelayakan terpaksa diberhentikan lebih awal selepas bendera merah dikibarkan akibat tumpahan minyak di litar.Menurutnya selain masalah klac, jenteranya juga mengalami masalah gegaran yang kuat berpunca daripada hendal yang agak longgar, malah keadaan fizikalnya pada hari ini juga tidak begitu baik."Semalam saya terjatuh dan mengalami sedikit gegaran, mujur hari ini doktor membenarkan saya keluar beraksi. Masih belum terlewat untuk saya memberikan cabaran pada perlumbaan akhir nanti. Jika tidak ke podium, sekurang-kurangnya saya berharap mampu untuk menamatkan saingan di kelompok hadapan," katanya.Sementara itu, Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) tidak memberi laluan mudah buat juara bertahan Underbone 115cc, Hadi Wijaya apabila bakal memulakan perlumbaan dari sebelah juara bertahan itu.Sekalipun Hadi (R9 Racing Team) mengungguli sesi kelayakan dengan catatan terpantas 1:29.969s, Norizman sekadar 0.677s ketinggalan di belakang sambil rakan sepasukan Hadi, Ferlando Herdian ketiga dengan masa 1:30.671s."Saya berpuas hati dengan catatan masa hari ini dan keadaan jentera juga jauh lebih baik berbanding semalam. Selain itu, ia juga mempunyai daya tahan lebih baik kerana cuaca di sini lebih sejuk jika dibandingkan dengan cuaca di Suzuka," kata Norizman.Norizman berharap dapat memberikan saingan sengit kepada Hadi yang sangat laju malah beliau mencatat banyak rekod di litar tersebut."Saya mahu mengekorinya sepanjang perlumbaan nanti dan akan menggunakan sepenuh kuasa jentera pada selekoh terakhir untuk ke garisan penamat bagi menentukan siapakah yang akan memenangi perlumbaan," katanya.Sementara itu, dalam saingan sesi latihan bebas Piala Impian Asia yang baru bermula hari ini, Hiroki Ono terus mengungguli saingan dengan catatan masa terpantas 1:27.729s manakala pelumba Indonesia, Gerry Salim kedua dengan catatan 1:28.218s.Pelumba negara, Mohd Fitri Ashraf Razali ketiga dengan catatan terbaik 1:28.223s. -BERNAMA