suria

Harimau Muda A Di Landasan Baik Hadapi Sukan SEA - Tengku Abdullah

KUANTAN: Skuad Harimau Muda A sudah bersiap bersedia dari segi fizikal dan mental dalam menghadapi temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember ini, kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Katanya persiapan itu dapat dilihat berdasarkan prestasi cemerlang skuad kendalian Ong Kim Swee itu yang berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan pusingan awal dalam Pestabola Merdeka 2013.

Skuad bawah 23 tahun itu akan menentang Myanmar pada final, Sabtu ini.

"Saya percaya pemain kita berada di landasan terbaik untuk ke Sukan SEA nanti...jurulatih Kim Swee sudah buat 'kerja rumah' yang baik dan dia tahu kekuatan dan kelemahan setiap pemainnya," katanya kepada pemberita selepas majlis kesyukuran dan penghargaan Pusat Kutipan Zakat Pahang di sini, Khamis.

Bagaimanapun, Tengku Abdullah mengingatkan barisan pemain skuad itu supaya tidak leka atau bermegah dengan keputusan pusingan awal itu tetapi sebaliknya perlu ghairah untuk bergelar juara bukan sahaja pada final tetapi dalam setiap perlawanan.

Dalam saingan awal, skuad Harimau Muda A mengalahkan Singapura 1-0, Myanmar 2-1 dan Thailand 3-0.

Dalam perkembangan lain, Tengku Abdullah, yang juga Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), berkata tindakan akan diambil terhadap pegawai pasukan Piala Tun Razak Pahang yang menurunkan pemain yang menjalani hukuman gantung, Mohd Aminuddin Abu, pada perlawanan menentang Perak, Sabtu lepas.

"Insiden itu akan menjejaskan imej sukan negara...kita perlu mengambil tindakan terhadap pegawai yang terlibat serta pemain berkenaan selepas siasatan," katanya.

Mohd Aminuddin dikenakan hukuman gantung dua tahun pada 2011 selepas gagal dalam ujian doping dan tempoh penggantungan tersebut berakhir hari ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bach Dipilih Presiden Baru OIC

Artikel Lain