suria

Sukan Perpaduan: Skuad Memanah Wanita Raih Satu Pingat Emas, Satu Perak

PALEMBANG: Skuad memanah wanita negara berjaya meraih sebutir pingat emas dan sebutir pingat perak menerusi acara compound individu wanita pada hari kelima temasya Sukan Perpaduan Islam (ISG 2013), yang berlangsung di Lapangan Sasar Memanah Jakabaring pada Jumaat.

Pemanah kebangsaan, Nor Rizah Ishak mengungguli acara itu dengan mengumpul 139 mata untuk meraih pingat emas mengatasi rakan senegara Sarita Cham Nong yang ketinggalan tiga mata dengan catatan 137 pada aksi final.

Pingat gangsa menjadi milik pemanah dari Iran, Mino Abedi selepas mengumpul 143 mata pada aksi penentuan pingat gangsa.

Nor Rizah, 44, berkata beliau gembira dengan kejayaan tersebut dan menyifatkan aksi di Palembang ini sebagai pemanas badan untuk menghadapi cabaran di Sukan SEA Myanmar Disember ini.

"Saingan pada kejohanan ini amat mencabar walaupun kuasa besar sukan memanah, Korea Selatan tidak menyertai temasya ini. "Saya menerima tamparan hebat daripada Iran dan juga pemanah tuan rumah iaitu Indonesia yang tidak kurang hebatnya," katanya kepada Bernama.

Pemanah berasal dari Perak itu berkata sasaran peribadinya adalah memperolehi 140 mata ke atas namun beberapa faktor tertentu seperti tiupan angin sedikit sebanyak mempengaruhi panahannya.

"Kalau boleh saya nak buat 140 mata ke atas ari ni namun nasib dan keadaan tidak menyebelihi saya hari ini," katanya.

Beliau berkata fokusnya selepas ini adalah melakukan persediaan bagi menghadapi Sukan SEA Myanmar dan berharap mampu meraih sebutir pingat di sana nanti. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain