KUALA LUMPUR: Seramai 200 atlet dan pegawai bakal menggalas cabaran negara pada edisi ketiga Sukan Para Remaja Asia 2013 (APYG 2013) di beberapa venue sekitar Lembah Klang mulai 26 hingga 30 Oktober ini.Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Zainal Abu Zarin berkata atlet negara akan menyertai kesemua 14 acara yang dipertandingkan termasuk beberapa acara baharu yang diperkenalkan pada edisi kali ini. Acara berkenaan ialah memanah, olahraga, badminton, boccia (sukan menyerupai boling padang), catur, goalball (sukan menyerupai bola baling), judo, powerlifting, renang, tenpin boling, ping pong, bola tampar duduk, bola keranjang berkerusi roda dan tenis berkerusi roda."Saya tidak boleh memberi jawapan tepat mengenai sasaran pingat memandangkan kebanyakan acara yang dipertandingkan adalah baharu, namun saya yakin atlet paralimpik remaja negara mampu beraksi cemerlang dalam beberapa acara seperti badminton, boccia, olahraga dan tenis berkerusi roda."Kebanyakan atlet negara yang menyertai temasya kali ini adalah muka baharu kerana agak sukar bagi kita untuk mencari atlet paralimpik remaja yang berusia antara 14 sehingga 21 tahun," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan tajaan untuk temasya sukan berkenaan, Khamis.Dalam pada itu, Zainal yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa temasya berkenaan berkata pihaknya berhasrat memberikan peluang kepada atlet paralimpik remaja yang berpotensi pada temasya itu untuk mewakili negara dalam kejohanan lebih mencabar pada masa depan."Mereka perlu membuktikan kemampuan dalam Sukan Paralimpiad Kebangsaan di Perlis tahun depan sebelum kita memberikan peluang beraksi dalam kejohanan lebih mencabar termasuk di peringkat antarabangsa," katanya.Seramai 1,200 atlet paralimpik remaja dan pegawai dari 30 negara Asia bakal menyertai edisi ketiga temasya sukan berkenaan yang bertemakan 'Where Passion Grows, Dreams Fulfilled, Friendship Strengthened'.Edisi pertama temasya berkenaan diadakan di Hong Kong pada 2003, diikuti edisi kedua di Tokyo, Jepun pada 2009.-BERNAMA