suria

Zulfahmi Tambah Lima Mata Di GP Australia

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara Muhammad Zulfahmi daripada pasukan Red Bull KTM Ajo berjaya menamatkan saingan Grand Prix Motosikal Australia (GP Australia) di Litar Philip Island di tempat ke-11 pada Ahad.

Perlumbaan Moto3 GP Australia itu dimenangi pelumba Sepanyol, Alex Rins daripada pasukan Estrella Galica 0,0 dengan masa 37 minit dan 40.375 saat, sementara Muhammad Zulfahmi berada 15.974 saat di belakang Rins dengan masa 37:56.349s.

"Keputusan yang diperolehi tidaklah berapa baik. Bagaimanapun saya terima dengan positif dengan keadaan fizikal saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada doktor dan pakar fisio yang telah membantu saya dalam tujuh hari lepas.

"Saya berharap dapat melakukan yang lebih baik di GP Jepun nanti," kata pelumba yang menyambut ulang tahun ke-22 beliau hari ini, melalui rakaman audio daripada pasukan Red Bull KTM Ajo.

Selepas perlumbaan GP Australia, beliau menambah lima mata dan masih mengekalkan kedudukan pelumba keseluruhan di kedudukan ke-10 dengan 65 mata.

Sementara itu seorang lagi pelumba Moto3 Malaysia yang beraksi atas tiket 'wild card' Amirul Hafiq Azmi, yang mewakili pasukan La Fonte Tascaracing menamatkan saingan di tempat ke-29 dengan mencatat masa 39:14.112s.

Dalam kategori Moto2, Azlan Shah Kamaruzaman menamatkan saingan di tempat ke-19 dengan catatan masa 20:56.318s, 37.099s di belakang pemenang perlumbaan, Pol Espargaro dari Sepanyol.

Espargaro menamatkan saingan dengan mencatat masa 20:19.219s. - BERNAMA

Artikel Lain