suria

Sukan Sea: KOM Tegas Hanya Hantar Atlet Kategori A Ke Myanmar

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tetap dengan pendirian untuk hanya menghantar atlet yang melepasi syarat kelayakan di bawah kategori A pada Sukan SEA ke-27 di Myanmar, dari 11-22 Dis ini.

Presiden KOM, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata keputusan itu dibuat bertujuan untuk menaikkan standard sukan olahraga negara serta menampilkan atlet yang lebih berwibawa. "Kita memberi peluang kepada atlet membuktikan kemampuan masing-masing pada Terbuka Malaysia. Seperti yang dikatakan sebelum ini, hanya atlet yang melepasi had kelayakan akan dipilih," katanya ketika mengumumkan senarai atlet olahraga yang akan membawa cabaran Malaysia pada temasya dwitahunan itu, Isnin.

Sebelum ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memperkenalkan kategori A dan B dalam pemilihan atlet yang layak beraksi dalam sebarang temasya dengan atlet kategori A ditanggung penuh manakala di kategori B mereka perlu menanggung perbelanjaan sendiri.

MOM akan bayar semula semua perbelanjaan jika mereka membawa pulang pingat emas atau sebahagian daripada kos perbelanjaan jika mendapat pingat perak.

Zainal Abidin berkata Jawatankuasa Pemilihan KOM telah memutuskan untuk memilih 40 atlet ke Sukan SEA Myanmar dan daripada jumlah itu, 27 daripadanya atlet lelaki, manakala bakinya wanita. "Senarai yang kita ada ini adalah berdasarkan prestasi atlet pada Terbuka Malaysia (yang baru berakhir semalam (Ahad)," katanya.

Antara atlet elit yang layak ke Myanmar secara merit ialah Loo Choon Sieng (20km jalan kaki lelaki); Iskandar Alwi (lompat bergalah); S. Kanathasan (400m); Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar) serta Schzuan Ahmad Rosely, P. Yuvaraaj, Anchois Aron dan Kwong Kar Jun (4x400m lelaki).

"Saya rasa skuad olahraga ke Sukan SEA adalah seimbang kerana kita menggabungkan atlet senior dan pelapis. Sasaran pingat emas kita pada Sukan SEA ini masih lagi tujuh pingat emas," kata Zainal Abidin.

Beliau berkata sasaran pingat emas itu adalah menerusi acara 20km jalan kaki, lompat bergalah, 4x400m, lompat tinggi, baling tukul besi, 400m dan 110 lari berpagar.

Zainal Abidin, bagaimanapun tidak menamakan atlet bagi acara sukan berkenaan.

Mengenai atlet lompat tinggi, Lee Hup Wei dan jaguh 400m lari berpagar, Noraseela Khalid yang tidak disenaraikan, katanya kedua-dua atlet itu telah diberi peluang menampilkan kemampuan mereka pada Terbuka Malaysia, namun mereka gagal mencapai keputusan yang baik.

Zainal Abidin berkata kesemua atlet yang terpilih perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dalam tempoh dua minggu akan datang.

"Mereka dikehendaki pergi ke ISN (Institut Sukan Negara) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan ujian antidoping sebelum mengikuti latihan pusat di Kuala Terengganu bermula 4 Nov depan," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain