suria

Bola Sepak: Rekod Cemerlang Abu Bakar Diyakini Untuk Kendali Perak

IPOH: Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) hari ini mengumumkan bekas pemain negeri Abu Bakar Fadzim, 43, sebagai ketua jurulatih skuad Liga Super musim depan dan yakin dengan pencapaian cemerlangnya sepanjang lapan tahun bersama-sama pasukan Piala Presiden negeri itu.

Presiden Pafa Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata sudah sampai masanya Pafa membuat perubahan dengan penuh keberanian memberikan tanggungjawab bagi menggalas cabaran bola sepak Perak kepada anak tempatan yang mempunyai rekod cemerlang.

"Sebaik sahaja dilantik, saya meminta beliau supaya segera mengenal pasti pemain-pemain yang diperlukan untuk mewakili skuad Perak musim depan, termasuk pemain import," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Dengan pengumuman itu Abu Bakar yang berpengalaman sebagai jentera posisi tengah dan pertahanan skuad Seladang pada tahun 1991 hingga 2003 akan menggantikan Mohd Azraai Khor Abdullah yang mengumumkan untuk menamatkan kontrak dengan Perak pada Ahad.

Abu Bakar ketika mengulas pelantikan itu berkata beliau terkejut dengan keberanian Pafa untuk membuka peluang kepadanya bagi mengharungi kancah bola sepak negara musim depan.

"Saya menerima tawaran ini kerana merasakan inilah peluang terbaik untuk saya merasai cabaran dalam saingan bola sepak di peringkat yang lebih tinggi.

Demi membimbing Perak, saya menolak tawaran daripada beberapa pasukan Liga Super dan Liga Perdana yang lain," katanya.

Pemain yang mempunyai semangat kemenangan dan menaikkan prestasi skuad Perak sudah pasti akan menjadi tumpuan dalam memilih pemain, katanya.

Beliau membimbing anak buahnya sehingga menjulang Piala Presiden, Piala Emas Raja-Raja dan selain dinobatkan sebagai naib juara Sukan Malaysia tahun lepas.

Skuad bimbingannya turut menjadi naib juara Piala Presiden tahun ini selepas tumpas 1-2 kepada Kelantan dalam saingan akhir pada 12 Okt lepas.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain