Martin Jol LONDON: Kelab Liga Perdana Inggeris, Fulham pada Ahad telah memecat pengurus mereka, Martin Jol berkuatkuasa serta merta.Pengurus berbangsa Belanda itu digantikan oleh penolongnya Rene Meulensteen yang juga bekas jurulatih Manchester United. Meulensteen baru sahaja menyertai Fulham minggu lalu.Fulham kini menduduki tangga tiga terbawa liga dan berhadapan dengan risiko akan tersingkir ke divisyen bawah musim depan.Kelab itu hanya mampu mencatatkan empat kemenangan daripada 21 perlawanan liga di bawah bimbingan Jol.Sebelum itu Jol yang pernah mengurus sebuah lagi kelab London iaitu Tottenham Hotspurs telah dipanggil mengadap Ketua Pegawai Eksekutif, Alistair Mackintosh.Jol kemudian dimaklumkan yang tempoh perkhidmatannya selama dua setengah tahun di kelab itu akan ditamatkan.Fulham telah tewas 0-3 di tangan West Ham pada Sabtu yang merupakan pencetus kepada pemecatannya.Selepas pertemuan dengan Mackintosh, Jol langsung tidak kembali ke padang latihan bersama-sama pemainnya dan itu mencetus desas-desus yang dia tidak lagi bersama Fulham.Kemudian pada jam 4 petang pemilik Fulham Shahid Khan mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengesahkan pemecatan Jol."Tidak ada siapa pun yang dapat menafikan yang Jol adalah seorang pengurus yang hebar tetapi prestasi dan keputusan yang tidak memberansangkan sejak akhir-akhir ini memerlukan satu tindakan drastik diambil," katanya.Khan mengambil alih pengurusan Fulham selepas dia membeli saham majoriti kelab itu dari tangan Mohamed Al-Fayad beberapa bulan yang lalu.Beliau adalah rakyat Amerika berketurunan Pakistan.Sementara itu Meulensteen, akan memulakan tugasnya yang pertama selaku pemangku pengurus Fulham Rabu ini dalam perlawanan liga menentang Tottenham.Meulensteen menegaskan apa yang berlaku ke atas Jol adalah di luar pengetahuannya dan dia terus menelefon Jol sebaik sahaja mendapat tahu tentang berita pemecatannya.Menurut Meulensteen dia terpaksa menjelaskan situasi itu kepada Jol kerana ini adalah kali kedua situasi yang sama berlaku ke atas dirinya dalam tempoh yang terdekat."Saya berkhidmat selama 12 tahun di Manchester United dan enam tahun secara langsung di bawah Sir Alex Ferguson tanpa ada sebarang masalah. Tetapi sebaik sahaja saya menerima tawaran untuk berkhidmat di kelab Rusia, Anzhi, dua minggu selepas itu pengurus kami Guus Hiddink meninggalkan kelab berkenaan."Sekarang perkara yang serupa berulang lagi sebaik sahaja saya menyertai Fulham," ujarnya.