suria

T-Team Adakan Perlawanan Persahabatan Dengan Kelab Indonesia

KUALA TERENGGANU: T-Team akan mengadakan perlawanan pemanas badan dengan bertemu beberapa kelab terkemuka Indonesia sebagai persediaan menghadapi Liga Malaysia musim depan.

Ketua jurulatihnya Mohd Azraai Khor Abdullah berkata pada awalnya, beliau merancang untuk membawa pasukannya ke Bangkok, Thailand namun terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab keselamatan.

"Jadi atas sebab itulah kita beralih arah ke Indonesia. Lagipun kita percaya pasukan di Indonesia tidak kurang hebatnya berbanding pasukan di Thailand," katanya.

Beliau berkata sebelum itu, beliau merancang mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa negeri di utara tanah air sebelum berlepas ke Jakarta.

Mengenai persediaan pasukannya menghadapi Liga Malaysia, Mohd Azraai berkata pemilihan barisan pemainnya sudah hampir lengkap termasuk dengan pengambilan tiga pemain import dan memerlukan seorang lagi pemain import untuk mengisi kuota Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Semalam kami telah mengadakan ujian terhadap empat pemain import untuk mencari seorang lagi pemain, namun kesemuanya tidak mencapai standard yang saya perlukan," katanya.

Beliau turut menjelaskan T-Team hampir pasti mengikat bekas pemain tengah Kedah bagi musim 2005-2007 iaitu Nelson San Martin dari Chile yang menunjukkan pretasi memuaskan semasa ujian.

"Kita puas hati dengan permainan Nelson dengan hantaran-hantarannya yang berbisa dan tepat kepada rakan di samping pengalamannya yang luas sebelum ini," katanya.

Dua lagi pemain import yang sudah menandatangani kontrak dengan T-Team ialah Patrich Steve Wanggai (penyerang) dari Indonesia dan Fabio Flor (pertahanan) dari Brazil. - BERNAMA

Artikel Lain