suria

Tiga Pingat Emas Acara Renang Sasaran Realistik - Birmingham

KUALA LUMPUR: Sasaran tiga pingat emas bagi skuad renang negara pada Sukan SEA Ke-27 di Myanmar adalah realistik, kata jurulatih Paul Birmingham.

Katanya beliau meletakkan harapan tinggi terhadap tiga perenang berpengalaman - Kevin Yeap, Daniel Bego dan Khoo Cai Lin - untuk membawa pulang pingat itu bagi Malaysia dalam temasya dwitahunan itu, dari 11 hingga 22 Disember.

"Untuk memenangi pingat emas adalah sukar kerana terdapat banyak perenang muda berbakat dari negara-negara lain yang telah menunjukkan prestasi cemerlang. Tetapi, saya percaya perenang kita boleh membuktikan kehebatan mereka di Sukan SEA.

"Sasaran itu (tiga pingat emas) boleh dicapai dan sekiranya semuanya berjalan dengan sempurna, saya fikir perenang lain juga boleh menang satu atau dua lagi pingat emas.

"Bagi perenang muda yang bertanding buat pertama kali dalam temasya ini, mereka boleh menimba pengalaman berharga dan memperbaiki prestasi mereka," katanya kepada pemberita di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil, di sini Selasa.

Selain Kevin, Daniel dan Cai Lin, perenang negara bagi temasya ini ialah Yap See Tuan, Welson Sim, Vernon Lee, Wong Fu Kang, Lim Chin Hwang, Shawn Yap Kah, Tern Jian Han, Yap Siew Hiew, Christina Loh, Erika Chia Chia dan Nadia Adriana Redza.

Untuk rekod, skuad renang negara memenangi lima pingat emas, 10 perak dan tiga gangsa dalam Sukan SEA Indonesia 2011. - BERNAMA

Artikel Lain