LONDON: Media massa di Britain melaporkan yang Chelsea kini sedang berusaha untuk membawa balik penyerang kesayangan mereka, Didier Drogba ke Stamford Bridge - tetapi bukan sebagai pemain sebaliknya sebagai staf kejurulatihan musim depan. Menurut akhbar The Times dan Sunday People, pemilik Chelsea sendiri, Roman Abramovich yang menjadi penggerak utama untuk mendapatkan khidmat Drogba semula. Abramovich mahukan Drogba, yang akan berusia 36 tahun bulan depan supaya membentuk dan mencungkil bakat-bakat penyerang baru yang diasuh dan dilahirkan oleh kelab itu sendiri. Selepas memiliki Chelsea selama lebih 10 tahun, Abramovich telah mempelajari satu perkara - adalah lebih menjimatkan untuk membentuk dan mengasuh bintang baru daripada membelanjakan berjuta-juta pound sterling untuk membeli pemain ternama dari luar. Langkah itu mungkin menarik minat penyerang dari Ivory Coast itu untuk kembali ke Chelsea dan bekerjasama dengan bekas jurulatihnya Jose Mourinho. Drogba yang kini bermain untuk kelab Turki, Galatasaray akan turun menentang Chelsea Rabu ini dalam perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-juara Eropah. Isterinya Lalla anak-anak mereka masih bermastautin di London. Sebaik sahaja kembali untuk kali yang kedua bersama Chelsea awal musim ini, Mourinho dengan segera mahu membawa masuk semula Drogba tetapi Abramovich tidak begitu setuju kerana pasukan itu kini dipenuhi dengan pemain-pemain yang telah pun melepasi usia 30 tahun. Drogba memenangi Piala Eropah bersama Chelsea pada tahun 2012. Bagaimanapun kontraknya tidak disambung selepas itu.