DALAM musim yang serba tidak kena untuk juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester United, mereka kini dimalukan pula oleh sebuah pasukan dari liga yang sub-standard dari Greece, iaitu Olympiakos 2-0 awal pagi tadi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah. Untuk membolehkan United layak ke suku akhir, dalam perlawanan kedua di Old Trafford pada 19 Mac nanti, mereka perlu menang 3-0. Ia adalah satu perjuangan yang sukar walaupun di tempat sendiri. Untuk mengatasi defisit dua gol bukanlah mudah. Apa yang membimbangkan David Moyes dan para peminat United ialah dalam perlawanan ini, United tidak berpeluang bukan sahaja menjaringkan gol tetapi mencipta peluang gol. Barisan tengah mereka kehilangan idea untuk mencipta peluang pun. Satu-satunya peluang yang mereka ada muncul pada saat-saat akhir apabila Chris Smalling melorongkan bola kepada Robin van Persie tetapi ia telah dipersia-siakan dengan sepakan yang tersasar jauh. Dan sebaik sahaja Olympiakos memperolehi gol kedua mereka menerusi pemain yang dipinjamkan oleh Arsenal, Joel Campbell, Moyes dilihat tersandar lemah di kerusi tidak memahami mengapa pasukan yang menjuarai liga dengan penuh keyakinan musim lalu menjadi begitu serba tidak kena musim ini. Dengan Juan Mata tidak layak bermain dalam kejohanan ini kerana telah mewakili Chelsea di peringkat awal persaingan tahun lalu, Moyes mengejutkan semua dengan menguggurkan Adnan Januzaj, yang telah bermain cemerlang dalam perlawanan menentang Crystal Palace hujung minggu lalu. Dia juga meletakkan Shinji Kagawa di bangku simpanan dan meletakkan kepercayaan kepada Antonio Valencia dan Ashley Young untuk mengepalai kedua-dua sayap. Moyes mengekalkan Rio Ferdinand untuk berpasangan dengan Nemanja Vidic. Begitu juga dengan Patrice Evra di sebelah kiri dan Smalling di kanan. Tetapi kegagalan barisan tengah United untuk mengawal permainan menjadi punca kekalahan mereka. Apabila mereka gagal menguasai bahagian tengah padang malah melepaskan begitu banyak bola kepada pasukan lawan ini bermakna Van Persie dan Wayne Rooney tidak mendapat khidmat hantaran yang membolehkan mereka mencipta peluang gol. Sebaliknya seawal minit ke-38, gawang United bolos menerusi jaringan Alejandro Domínguez. United dihukum di atas kegagalan menguasai bahagian tengah padang. Kemudian sekali lagi sembilan minit selepas separuh masa bermula, keadaan menjadi semakin kusut apabila Campbell dengan mudah meloloskan diri mengatasi Michael Carrick, lalu merembat dengan kaki kirinya untuk menewaskan David De Gea. Moyes cuba mengubah rentak dengan memasukkan Shinji Kagawa mengantikan Tom Cleverley dan Danny Welbeck mengambil tempat Valencia tetapi ia masih tidak memadai untuk mengubah keadaan itu. United pulang bukan sahaja dengan tangan kosong tetapi misi yang sangat sukar untuk mengatasi defisit dua gol. Olympiacos: Roberto 7; Leandro Salino 6, Manolas 7, Marcano 6.5, Holebas 5; Maniatis 7, N'Dinga 6.5; Campbell 8 (Fuster 67, 6, Domínguez 7.5 (Machado 76, 6), Perez 5.5 (Valdez 86); Olaitan 6.5. Simpanan Tidak Digunakan: Megyeri, Samaris, Papadopoulos, Bong. Gol: Dominguez 38, Campbell 55. Man United: De Gea 6; Smalling 4.5, Ferdinand 5, Vidic 6.5, Evra 6.5; Valencia 5 (Welbeck 60, 6), Carrick 6, Cleverley 5.5 (Kagawa 61, 5.5), Young 5.5; Rooney 6, Van Persie 5. Simpanan Tidak Digunakan: Lindegaard, Büttner, Fellaini, Giggs, Hernandez.